Suasana di luar Hong Leong Bank, Jalan Sultan Idris Shah, Ipoh gempar apabila terdengar tembakan yang menyebabkan sebahagian cermin pintu bank retak.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, tembakan itu datang daripada senjata jenis pump gun milik pengawal keselamatan berusia 57 tahun yang bertugas di bank tersebut.
Menurut beliau, ketika kejadian, pengawal bank itu yang sedang mengosongkan senjatanya, tertarik picu pump gun.
“Dia tertarik kerana tak perasaan kerana ada satu lagi peluru di dalam senjata jadi satu tembakan terlepas ke arah pintu bank ini, mujur bank sudah turup,” katanya ditemui ketika mengadakan siasatan di tempat kejadian pada Isnin.
Tambah beliau, ketika kejadian jam 6.45 petang itu, terdapat lapan kakitangan bank dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Menurut beliau, pengawal keselamatan itu telah bertugas di bank berkenaan sejak September lalu dan kes sedang disiasat di bawah Akta Senjata Api Seksyen 39A.
“Pegawal keselamatan ini mungkin akan ditahan selepas soal siasat yang kita buat ini selesai,” ujarnya.