IPOH - Keadaan suhu panas melampau yang kini melanda kebanyakan tempat seluruh negara turut membimbangkan petani sekitar Cameron Hinglands.
Pengerusi Persatuan Penanam Bunga Cameron Highlands, Lee Peng Foo berkata, para petani di kawasan tersebut kini mengalami kerugian akibat tanaman yang kering dan kekurangan air.
"Sumber air dari sungai sangat terhad, ada yang kering kontang. Kami hanya bergantung harap kepada hujan. Jika berterusan, kami akan terus alami kerugian,'' katanya dipetik akhbar The Sun Daily.
Menurut Peng Foo, petani kini cuba mendapatkan sumber air bawah tanah, namun lokasinya agak jauh dari tapak tanaman mereka.
Katanya, cuaca panas mula terasa di Cameron Hinglands sejak dua mingu lalu, senario yang kali terakhir berlaku kira-kira 10 tahun lalu.
Terdapat 150 penanam bunga di Cameron Hinglands dengan 75 peratus hasil tanaman mereka dieksport ke Thailand, Japan, Singapura, Hong Kong, Indonesia Timur Tengah manakala selebihnya untuk pasaran tempatan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Petani India Cameron Highlands, P. Viswanathan berkata, setakat ini, cuaca panas belum menjejaskan penanam sayur-sayuran memandangkan mereka menggunakan sumber air dari empangan yang dibina sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, jika keadaan cuaca panas berterusan, pihaknya akan mendapatkan sumber air bawah tanah sebagai langkah alternatif.
``Setakat ini, keadaan masih terkawal. Pada masa ini, petani perlu menyiram tanaman dua kali sehari berbanding tiga kali seminggu sebelum ini,'' tambahnya. - Suara Perak