Lebih 200 ketua cawangan, ketua wanita, pemuda, puteri dan ahli jawatankuasa UMNO Bhagian Sungai Siput, berikrar menyokong dan mempertahankan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden parti dan Perdana Menteri.
Mereka turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang sanggup bersekonggol dengan pembangkang untuk menjatuhkan Najib.
Datuk Dzulkifli Harun menerima 500 borang keahlian baru daripada Hassan Ngah, wakil UMNO zon Orang Asli
Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput, Datuk Dzulkifli Harun berkata, tindakan ketiga-tiga mereka itu tidak wajar kerana tidak demokratik dan memberi ruang kepada pembangkang.
Bagaimanapun, beliau yakin, UMNO akan terus kukuh selepas ini, dengan kehadiran ahli baru seperti kemasukan 500 ahli baru di kalangan penduduk Orang Asli di Sungai Siput.
“Walaupun Tun Mahathir keluar seorang, 500 yang datang. Ini menunjukkan bahawa keyakinan orang Melayu kepada UMNO merupakan satu wadah perjuangan untuk agama, bangsa dan negara, di samping itu untuk pelbagai rakyat pelbagai kaum yang ada di negara kita pada hari ini,” katanya ketika ditemui selepas menerima boring keahlian baru itu di Bangunan UMNO Sungai Siput pada Sabtu petang.
Selain menerima 500 borang keahlian baru, Dzulkifli bersama-sama ahli jawatankuasa bahagian dan ketua-ketua cawangan sayap parti turut melafazkan ikrar sokongan kepada Najib.