top of page
muinsapidin

Gerakan Letak 17 Calon PRU14

Parti Gerakan Pulau Pinang akan meletakkan calon di 17 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bagi pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow berkata, kebanyakan mereka terdiri daripada muka baharu yang berumur antara 28 dan 38 tahun.

"Kami percaya bahawa mereka akan membangkitkan isu setempat dengan penuh kredibiliti dan komitmen.

"Kita telah melakukan penilaian teliti dan yakin calon-calon tersebut mempunyai potensi dalam bidang pengkhususan masing-masing dan wajar diundi oleh rakyat di seluruh negeri ini," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Retreat BN Pulau Pinang selama 3 hari yang disertai seramai 44 Ahli Jawatankuasa di Hotel Copthorne, Cameron Highland.

Menurut Teng, pihaknya telah menyediakan platfrom latihan bersesuaian dalam usaha mengasah kepimpinan calon-calon untuk berhadapan dengan ketidakstabilan ekonomi serta isu setempat.

Tambahnya, kesemua calon telah mula turun padang dan mengkaji permasalahan setempat bertepatan dengan pendekatan parti menangani percaturan politik yang meruncing kebelakangan ini.

Menurutnya, calon-calon tersebut adalah pilihan parti masing-masing dan nama tersebut telah dihantar ke kepimpinan pusat bagi tujuan pemilihan.

"Kita menjangkakan keputusan akhir pencalonan disiapkan menjelang penghujung bulan Mac dan percaya mereka akan menjadi barisan hadapan di dalam mendepani parti pembangkang sedia ada kelak," katanya lagi.

Sebelum ini, pihak BN Pulau Pinang memenangi 10 daripada kerusi negeri dan 3 daripada 10 kerusi Parlimen pada pilihan raya lepas.

Sementara itu, pihaknya juga mempersoalkan isu rumah mampu milik di kalangan rakyat Pulau Pinang dalam manisfeso sempena retreat tiga hari tersebut.

Katanya, harga bagi sebuah rumah berukuran 650 kaki persegi di negeri itu mencecah nilai RM400,000 untuk satu unit apartment atau kondominium dan dilihat tidak rasional.

"Semasa kami sedang memegang profil kerajaan negeri pada 2008, harga terendah sebuah unit kediaman adalah bernilai RM25,000 dan maksimum RM72,000 bagi keluasan yang sama.

"Kami juga memastikan terdapat kuota sebanyak 30 peratus bagi pembinaan rumah mampu milik di mana-mana kawasan projek pembinaan perumahan," ujarnya.

Katanya, terdapat empat kawasan perumahan rakyat baharu yang dibina oleh pihaknya beberapa tahun lepas di sekitar negeri termasuklah di Jalan McCullen, Bayan Baru, Seberang Jaya dan Bandar Perda.

Bagaimanapun, kata beliau, polisi perumahan negeri itu kini dilihat tidak jelas dan membebankan ramai pihak terutamanya belia yang baru sahaja mendirikan rumah tangga dan lepasan pengajian tinggi.

"Jika ini diteruskan maka polisi 1 Keluarga 1 Rumah tidak akan menjadi realiti malah kini terdapat banyak pihak menzahirkan rasa tidak puas hati dan kecewa mereka terhadap pengurusan dan pembinaan rumah mampu milik serta masalah nilai hartanah yang di luar kemampuan mereka," tambahnya.


26 views0 comments
bottom of page