top of page
muinsapidin

BN Pulau Pinang Tubuh Pusat Gerakan Siber

Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang telah menubuhkan sebuah pusat gerakan bagi menangkis serangan siber pembangkang dalam media sosial.

Pengerusinya, Teng Chang Yeow berkata, pengurusan pusat itu akan melibatkan semua parti komponen BN di negeri itu bagi memantapkan lagi keberkesanan pendekatannya.

"Kita telah mengkaji keberkesanan pendekatan media sosial di Pulau Pinang dan kata sepakat telah dicapai untuk menggerakkan pusat gerakan ini.

"Selain itu, kita telah mengenalpasti beberapa perkara dan isu berkaitan rakyat yang perlu kita laksanakan dengan kadar segera di sekitar negeri ini dan ianya akan diketengahkan dalam manifesto kita," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Retreat BN Pulau Pinang selama 3 hari yang disertai seramai 44 Ahli Jawatankuasa di Hotel Copthorne, Cameron Highland.

Menurut Teng, pihaknya telah bersiap sedia untuk menyalurkan pelbagai perkara, selain membangkitkan sebarang isu melibatkan rakyat yang perlu diselesaikan kepada pihak kerajaan negeri jika diminta berbuat demikian.

Beliau berkata, pihaknya sedang berada dalam mod perang untuk memperjuangkan permasalahan masyarakat setempat dalam usaha memenangi hati dan minda rakyat Pulau Pinang.

Dalam pada itu, BN Pulau Pinang menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan berdiri teguh bersamanya untuk menghadapi cabaran politik masa ini.

"Kita ingin mengingatkan bahawa BN yang ditubuhkan pada 1974 adalah untuk mengembalikan kestabilan politik dan kami akan terus mengamalkan nilai ini demi kepentingan rakyat.

"Justeru, kami menyeru rakyat untuk meneliti dan menerima bahawa ketelusan politik di bawah teraju BN adalah penting untuk keadaan ekonomi yang tidak menentu ini," ujarnya.

Dalam pemukiman atau retreat selama tiga hari itu, semua ahli jawatankuasa BN Penang membincangkan formula dan perincian khas mengenai strategi bagi pilihan raya akan datang.

Turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Pengerusi myPPP Pulau Pinang, Datuk Senator Loga Bala Mohan dan Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid.


13 views0 comments
bottom of page