Sudah jatuh ditimpa tangga, gara-gara jalan berlubang, seorang warga emas terpaksa menerima lebih daripada 60 jahitan di tempurung kepalanya. Tong Lay Eng,74, dikatakan sedang dalam perjalanan pulang daripada rutin mengambil ubat darah tinggi di kliniknya ketika insiden malang tersebut berlaku. Menurut anaknya, Chia Kor Seng, 40, ini bukanlah kali pertama lubang sedalam 3 inci dan 11 kaki luas berhampiran stesen minyak di Jalan Ampang Baru membawa malapetaka kepada orang ramai yang lalu di kawasan berkenaan. "Ibu saya selalunya akan berjalan kaki ke klinik untuk mengambil ubatnya namun pada hari Rabu lepas, dia menunggang motosikal dan tidak menyedari ada lubang yang menyebabkannya terjatuh lalu mengalami kecederaan parah di kepala, bahu, kaki dan jari," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Khidmat ADUN Perak di Taman Canning pada Jumaat.
Kor Seng berkata. dia menerima panggilan berkenaan insiden malang itu daripada orang ramai yang datang membantu ibunya yang tidak bermaya. Tukang masak yang tinggal di Kg Tersusun Ampang itu berkata, dia menghantar sendiri ibunya sendiri ke Hospital Pantai untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Bila tengok mak saya begitu, memang luluh hati saya, sudahlah dia menghidap darah tinggi dan demam pada hari berkenaan, hanya disebabkan sebuah lubang yang tidak diturap, dia terpaksa menanggung kesakitan pada usia yang cukup tua. "Masa saya angkat mak, dia berlumuran darah, malah saya dapat nampak tulang tempurung kepalanya. "Bayangkan, mak kena semua itu pada usia 74 tahun,hanya tuhan sahaja tahu perasaan saya pada ketika itu," luahnya hiba. Kor Seng berkata, dia ingin meminta pihak berwajib untuk membayar wang pembiayaan perubatan sebanyak RM7,000 sebagai ganti rugi kepada kecederaan ibunya. Jelasnya, ini merupakan tindakan terbaik untuk mengingatkan pihak terlibat agar tidak memilih kontraktor pembinaan jalan sesuka hati yang akan membawa risiko kepada nyawa orang ramai. "Saya ada bertanya kepada pemilik stesen minyak berhampiran dan dia mengatakan sudah berpuluh kali aduan dilakukan namun tiada sebarang tindakan diambil sehingga hari ini. "Saya tak faham sampai bila harus mereka membiarkannya begini,mujur tiada kenderaan lalu sebaik mak saya jatuh, jika tidak saya tak sanggup membayangkan ap akan berlaku. "Cukuplah nasib malang yang menimpa mak, tolonglah ambil tindakan segera, berapa banyak kecederaan dan nyawa lagi perlu digadai baru nak buka mata?,"ujarnya.