top of page
muinsapidin

Pelancaran Pusat Kreatif Kinabalu Direalisasikan

Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan menubuhkan Pusat Kreatif Kinabalu (KCC) di Sabah bagi merancakkan lagi kegiatan industri kreatif di negeri Sabah secara amnya. Pengerusi Finas, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata KCC akan menjadi pusat sehenti kepada pelbagai aktiviti berkaitan industri kreatif, khususnya perfileman di Sabah. Beliau yang juga merangkap ADUN Slim River itu berkata hasrat itu telahpun disampaikan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman dalam kunjungan hormat beliau di Sri Gaya dekat Kota Kinabalu pada Khamis lepas.

"Ketua Menteri Sabah berasa gembira dengan hasrat Finas ini dan telah menyatakan kesediaannya untuk membantu supaya KCC ini dapat diwujudkan segera. Malah, beliau juga bersetuju untuk mendapatkan tapak yang sesuai dan strategik untuk tujuan itu,"katanya ketika dihubungi Suara Perak pada Jumaat. Mohd Khusairi berkata, kewujudan KCC di Sabah akan dapat membantu penggiat industri kreatif di sini supaya lebih mudah berurusan dengan pihak Finas yang menjadi peneraju industri kreatif negara. Menurutnya, Finas telah wujud di Sabah sejak 1985, tetapi peranannya hanyalah dalam hal berkaitan penguatkuasaan dan perlesenan. Kewujudan KCC boleh dianggap sebagai kemudahan terbaru di Sabah untuk membolehkan penggiat seni kreatif di negeri ini berurusan, khususnya dalam penilaian hasil karya sebagaimana yang diwujudkan oleh Finas melalui Content Malaysia Pitching Centre di KL Sentral, Kuala Lumpur. Sehubungan itu, katanya lagi, penggiat seni tempatan tidak perlu lagi menghabiskan masa dan kewangan untuk ke Kuala Lumpur bagi melontarkan idea menghasilkan karya baru bagi mendapatkan pelbagai benduk dana yang disediakan oleh pihak Finas. "KCC juga akan menjadi pusat sehenti untuk pelbagai aktiviti industri kreatif di Sabah khususnya dalam bidang perfileman, serta menyelaras maklumat lokasi-lokasi pengambaran menarik kepada penerbit dari dalam dan luar negara." "KCC juga boleh meningkatkan lagi industri pelancongan di Sabah melalui filem-filem yang dipasarkan," ujarnya. Turut hadir dalam kunjungan hormat itu ialah Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman dan Penasihat Industri Kreatif Sabah dan Sarawak, Datuk Deddy M. Borhan.


7 views0 comments
bottom of page