KOTA BHARU - Polis Kelantan akan mendapatkan kerjasama Interpol untuk mengesan suspek kes kerat anu di Gua Musang yang kini dipercayai berada di negara jiran. Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, pihaknya sedang berusaha memburu suspek yang merupakan warga negara Thailand.
“Kita sedang berusaha memburu suspek, iaitu seorang wanita Thailand, kita minta bantuan daripada pihak di sana (Thailand) untuk kesan suspek. “Kita percayai suspek sudah pulang ke Thailand, sebab dia tahu orang nak cari dia jadi, kita akan gunakan khidmat Interpol juga untuk menangkapnya,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Pondok Bit Polis PCB Kota Bharu, di sini, hari ini. Dalam kejadian Ahad lalu, seorang lelaki warga Indonesia yang bekerja di sebuah ladang sawit Pos Pulat, Gua Musang putus kemaluannya disyaki dipotong seorang wanita warga Thailand.