Kemerosotan nilai ringgit baru-baru ini memberi impak positif kepada industri pelancongan di Malaysia, khususnya negeri Perak. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian,Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Radzi berkata, terdapat hikmah di sebalik kejatuhan mata wang global kepada kemasukan pelancong di negeri ini. Menurut beliau, kadar kemasukan pelancong luar negara ke Malaysia mencatat peningkatan sehingga 36,000 setakat November 2015 dan trend tersebut dilihat akan bertambah baik pada tahun ini.
"Apabila mata wang tersebut jatuh kita berharap agar kadar pelancong tempatan yang ke luar negara akan berkurangan dan lebih gemar melancong dalam negara. "Begitu juga bagi pelancong luar negara, trend mereka melancong ke Malaysia dilihat semakin positif khususnya di Perak jadi ini sebenarnya sesuatu yang amat mengalakkan bagi promosi produk pelancongan kita," katanya kepada pemberita dalam sidang media sempena Pelancaran Pakej Agro Tourism Perak: Matta Fair Perak Mac 2016 di Ipoh Parade pada Jumaat. Nolee berkata, antara negara yang paling kerap mengunjungi Perak adalah Singapura dengan jumlah melebihi 20,000 pengunjung yang menggunakan perkhidmatan penerbangan secara terus ke Ipoh. Katanya, Perak mencatatkan lebih 1.3 juta pengunjung sehingga September 2015 dan angka tersebut dijangka meningkat dengan promosi Agro Tourism sepanjang tahun ini. Jelasnya, Perak mensasarkan pakej Agro Tourism yang menumpukan produk berasaskan pertanian, perikanan dan penternakan sebagai salah satu komponen sokongan kepada Kempen Cuti-cuti 1 Malaysia: Dekat Je pada tahun ini. Baru-baru ini, Tourism Malaysia Perak telah mengenalpasti lapan produk berasaskan agro pelancongan di sekitar negeri yang boleh dipromosikan kepada kesemua pengunjung. "Antara lokasi tersebut ialah Sahom Farm Valley dan Refarm di Kampar, Gaharu Tea Valley,Gopeng, iGrow di Kampung Gajah, Trong Leisure Farm, Taiping, Pink Guava Sime Darby dan Sahabat Hutan Bakau Lekir di Sitiawan dan Syamille Agro Farm di Kuala Kangsar. "Pemilihan tema agro-tourism ini bersesuaian dengan kluster penjenamaan Perak kerana semua produk ini sudah bersedia menerima kunjungan pelancong dan diyakini membawa dimensi baru kepada industri pelancongan Perak," ujarnya. Nolee berkata, antara produk pelancongan utama yang mendapat sambutan baik dari orang ramai adalah makanan, warisan dan taman tema. Katanya, keunikan gabungan dan integrasi pelbagai budaya serta kesenian di Perak adalah antara faktor utama kesemua produk tersebut mendapat perhatian ramai pelancong baik tempatan dan luar negara.