Interaksi silang budaya yang ditonjolkan oleh masyarakat berbilang bangsa di Perak merupakan satu entiti yang wajar dipelihara dalam mengekalkan kesejahteraan di negeri ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata, di samping itu tradisi mengunjungi rumah kedua ibubapa pada waktu perayaan perlu diteruskan oleh generasi muda dalam usaha mengekalkan warisan dan keluruhan kebudayaan.
Beliau memberi contoh, dalam perayaan Tahun Baru Cina keluarga, baik dekat atau jauh akan datang dan bersama makan besar sebagai upacara tradisi dan hubungan erat ini sebenarnya tunjang kepada masyarakat harmoni.
"Kepada mereka yang berbangsa dan beragama lain, mereka juga akan saling kunjung mengunjungi di antara sesama dan membuatkan interaksi pertukaran budaya itu diteruskan dari zaman dulu hingga hari ini," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Kontinjen Perak 2016 di Mess Pegawai Kanan IPK Perak pada malam Jumaat.
Menurutnya, sambutan pelbagai jenis perayaan di Perak dilihat mampu memelihara dan memperkukuh ikatan muhibbah dan silaturahim di antara anggota polis dan kakitangan awam serta masyarakat setempat.
Dalam majlis itu, Abdul Rahim turut melahirkan penghargaannya kepada pasukan polis serta semua pihak yang memberikan sokongan padu tidak berbelah bahagi kepada dirinya sejak pelantikan sebagai Ketua Polis negeri 12 Februari lepas.
Tambahnya, beliau amat memerlukan komitmen daripada kesemua pihak dalam mengekalkan keamanan dan kesejahteraan serta keharmonian di negeri ini.
"Sebagai seorang ketua, saya perlu tegas untuk menguruskan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada dan ia bukanlah atas sebarang niat buruk," ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan, dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2016, Datuk Pahlawan Goh Kok Liang.