Seramai 30 orang penerima bantuan Azamtani MARDI di Sungai Siput, berikrar untuk memaksimakan penggunaan bantuan itu bagi mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan.
Walaupun tersenarai di dalam golongan termiskin atau e – Kasih, mereka juga mahu berjaya di dalam perniagaan, walaupun terpaksa bermula secara kecil-kecilan.
Saadiah Hassan, 47, yang berniaga kueh mueh di Kampung Tali Api sejak beberapa tahun lalu, adalah antara penerima bantuan Azamtani MARDI yang mahu mengubah hidup keluarganya.
“Saya bersyukur dan berjanji, saya akan berusaha bersungguh-sungguh supaya berjaya seperti mana yang saya tekadkan di dalam hati selama hari ini.
“Selama hari ini, saya memang teringin sangat hendak berjaya dalam perniagaan, walaupun secara kecil-kecilan, saya akan berusaha dan terus berusaha supaya dapat memuaskan pihak-pihak yang telah membantu,” katanya.
Saadiah ditemui selepas majlis penyerahan bantuan Azamtani MARDI Daerah Kuala Kangsar / Parlimen Sungai Siput yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Zolkafly Harun.
Dia yang menerima bantuan kiosh, dapur dan kerusi meja kelihatan sebak kerana menurutnya tidak pernah menyangka ada pihak yang sudi membantu.
Sementara itu, Zolkafly menasihatkan penerima bantuan supaya menjaga bantuan yang diperolehi dengan baik dan tidak menjualnya untuk mendapatkan keuntungan jangka pendek.
Menurut beliau, mereka akan dipantau oleh pihak MARDI supaya menjaga dan tidak menjual bantuan yang diterima di samping sentiasa bermotivasi untuk keluar daripada garis kemiskinan.
“Saya yakin dan percaya bahawa penerima ini akan mengubah kehidupan mereka dan insya Allah dengan cara ini, kita dapat mengurangkan paras kemiskinan di kalangan rakyat di luar Bandar.
“Insya Allah mudah-mudahan akan menjadi sifar kemiskinan di kawasan kita, di kawasan Parlimen Sungai Siput, khususnya di kawasan Lintang ini,” ujarnya.
Selain kiosh, dapur dan kerusi meja, Azamtani MARDI turut memberi bantuan bot, motosikal roda tiga dan perlatan pertanian.