Usaha kerajaan negeri Perak untuk memartabatkan sekolah menengah tahfiz di negeri ini dengan menubuhkannya di setiap daerah, mula menampakkan hasil sehingga mampu mengatasi sekolah agama yang telah lama wujud.
Terbaharu, Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) Daerah Batang Padang muncul sekolah terbaik di dalam peperiksaan Idadi dan Thanawi 2015 yang diumumkan keputusannya pada Khamis.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, selain muncul sekolah terbaik kedua-dua peperiksaan untuk calon di tingkatan dua dan empat itu, pelajar SMTDR Batang Padang, Wan Anis Amirah Abdul Halim turut muncul sebagai pelajar terbaik Thanawi 2015.
Beliau turut mengumumkan pelajar SMTDR Daerah Kuala Kangsar, Umar Mohamad Danial muncul sebagai pelajar terbaik peperiksaan Idadi 2015.
“Seramai 2,686 calon peperiksaan Idadi dan 2,022 calon Thanawi telah mendaftar untuk menduduki kedua-dua peperiksaan itu yang dijalankan serentak pada 26 hingga 29 Oktober 2015 yang lalu,” katanya ketika mengumumkan keputusan itu di Sekolah Raja Perempuan Ta’ayah Ipoh.
Menurut Drs Nizar, secara keseluruhannya, pencapai peperiksaan Idadi 2015 menunjukkan peningkatan sebanyak 0.14 peratus kepada 2.37 peratus, berbanding 2.51 peratus tahun 2014.
Beliau memberitahu, calon yang mendapat keputusan mumtaz (cemerlang) bagi semua mata pelajaran seramai 595 orang (21.15%), jayyid jiddan (amat baik) 981 (36.52%) jayyid (baik) 774 (28.82%), maqbul (lulus) 197 (7.33%) dan rasib (gagal) 139 (5.17%).
Bagi keputusan peperiksaan Thanawi pula, calon yang mendapat keputusan mumtaz 298 orang (14.74%), jayyid jiddan 590 (29.18%), jayyid 717 (35.46%), maqbul 249 (12.31%) dan rasib 168 (8.31%).
Sambil mengucapkan tahniah kepada sekolah yang mendapat keputusan cemerlang, Drs Nizar berharap ia akan dapat dipertingkatkan lagi di tahun-tahun akan datang.
Sementara itu, Pengetua SMTDR Daerah Batang Padang, Ridzuan Ahmad (gambar kiri) melahirkan rasa syukur kerana sekolahnya muncul terbaik untuk kedua-dua peperiksaan itu tahun lalu.
“Syukur Alhamdulillah, ini adalah kejayaan semua yang terlibat di sekolah, guru-guru yang tekun mengajar dan pelajar yang belajar bersungguh-sungguh,” ujarnya.
Beliau memberitahu, tahun 2015 merupakan tahun pertama pelajar sekolahnya menduduki Thanawi yang melibat 16 orang calon.
SMTDR Daerah Batang Padang pernah muncul sekolah terbaik dalam peperiksaan Idadi pada tahun 2013.