Polis Perak berjaya merampas barangan curi bernilai hampir RM500,000 apabila menahan tiga lelaki yang bergerak aktif melakukan kegiatan pecah rumah dan mencuri kenderaan mewah di Ipoh pada 4 Mac lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, SAC Datuk Goh Kok Liang berkata, suspek pertama berusia 18 tahun ditahan di hadapan sebuah restoran di Kledang Permai, Taman Kledang, Ipoh pada jam 12.30 tengahari.
Menurut beliau, susulan daripada itu membawa kepada penangkapan dua lagi suspek di Taman Falim Indah, Menglembu pada jam 3.00 petang hari yang sama.
Beliau berkata, polis percaya tangkapan tiga lelaki berumur antara 18 dan 35 tahun itu, termasuk seorang suspek kes bunuh, berjaya menyelesaikan lima kes - satu kes samun di Daerah Batu Gajah, dua kes curi kenderaan dan dua kes pecah rumah di Ipoh.
“Polis juga berjaya menemui semula beberapa barangan bernilai yang dicuri daripada tiga lelaki terbabit, antaranya masing-masing sebuah kereta Camry, Hyundai, BMW dan lori,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Daerah Batu Gajah pada Khamis.
Sehubungan dengan itu, beliau meminta orang awam yang kehilangan barangan berharga bersabit kes pecah rumah dan kehilangan kenderaan, datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah untuk membuat pengecaman ke atas barangan mereka.