Polis Perak telah membuka kertas siasatan berhubung kes keracunan makanan yang menyebabkan 37 pesakit dimasukkan ke hospital di Batu Gajah baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, SAC Datuk Goh Kok Liang berkata, kertas siasatan itu dibuka bagi mengesan dan memastikan sama ada berlaku sebarang perbuatan jenayah dalam kes berkenaan.
Menurut beliau, sekiranya wujud unsur jenayah, maka pihak polis boleh mengambil tindakan selanjutnya.
Mah Hang Soon turun menemui pemilik gerai yang dikaitkan dengan kejadian keracunan makanan membabtikan 37 orang di Siputeh, dekat Batu Gajah.
“Pihak polis akan tengok dari segi jenayah, kalau ada jenayah, baru boleh ambil tindakan lain,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah pada Khamis.
Beliau menjawab soalan pemberita berhubung perkembangan terbaru kes keracunan berkenaan.
Dalam kejadian baru-baru ini, 37 pesakit berusia daripada dua hingga 71 tahun dimasukkan ke hospital akibat keracunan makanan selepas makan menu sarapan pagi yang dipercayai dicemari racun kimia di sebuah gerai di Siputeh dekat Batu Gajah.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon ketika ditemui semasa melawat mangsa memberitahu, empat pesakit berada dalam keadaan kritikal dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, pusat perubatan KPJ, Ipoh dan Hospital Batu Gajah.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kesemua pesakit dipercayai telah termakan makanan di gerai tersebut yang tercemar dengan bahan kimia dikenali sebagai organophosphate.