IPOH: Jabatan Perhilitan Negeri berjaya menumpaskan pencerobohan dan kegiatan pemburuan haram oleh warga asing di Taman Negeri Hutan Belum di Gerik dalam satu operasi semalam.
Pengarahnya, Rozidan Md Yassin berkata sepasukan lapan anggota Perhilitan telah dihantar ke taman negeri itu berikutan maklumat perisikan mengenai kes pencerobohan di situ.
Katanya sebaik tiba di kawasan operasi Sungai Dadek yang terletak lebih kurang 5 kilometer terdekat dari jalan raya Timur Barat, anggota menjumpai kesan aktiviti berkhemah dan peralatan memburu haiwan liar.
Antara peralatan yang dijumpai di lokasi empat utas rantai dawai jerat bersaiz diameter 10mm mankala pemburu haram tidak dapat dikesan di kawasan sekitar, katanya.
Menurutnya peralatan jerat sedemikian bertujuan menangkap mamalia besar seperti harimau, belang, beruang, rusa, seladang dan tapir.
“Tidak seorang pemburu haram itu berjaya dikesan kecuali salah satu jerat itu di dapati telah mengena seekor rusa. Haiwan itu kemudiannya dilepaskan ke dalam hutan,” katanya dalam satu kenyataan.
Rozidan berkata Taman Negeri Royal Belum sering terdedah dengan kegiatan pencerobohan oleh pemburu haram warga asing
“Mereka ke sini untuk mencari kayu aras dan menangkap haiwan liar besar untuk diseludup keluar,” katanya.
Katanya lagi Perhilitan akan sentiasa membuat pemantauan bagi mengekang kes pemburuan haram dan menyaran orang awam supaya memberi maklumat.