top of page
muinsapidin

Pecah Rumah: Kumpulan Bahau Akhirnya Tumpas

JEMPOL – Polis Jempol menumpaskan kumpulan pecah rumah dikenali Kumpulan Bahau dengan penahanan lapan lelaki tempatan pada minggu ini.

Mereka yang berusia antara 20 hingga 30 tahun itu ditahan pasukan khas yang ditubuhkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol bagi menangani kes pecah rumah di beberapa lokasi seperti Batu Kikir dan Bahau pada tahun ini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superitendan Noorzainy Mohd Nor berkata, hasil risikan selama dua minggu, polis berjaya menahan dua lelaki di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Bukit Gelugor Kuala Pilah, jam 11 malam, 6 Mac lalu.

“Polis turut menjumpai dan merampas satu televisyen plasma, pemain DVD jenama Panasonic, dua buah motosikal dan peralatan pecah rumah.

“Hasil soal siasat, polis berjaya menangkap enam lagi rakan suspek di tiga lokasi berasingan iaitu Kuala Pilah, Bahau dan Telemong, Pahang. Polis juga telah mengenal pasti ketua Kumpulan Bahau terbabit.

“Polis juga berjaya merampas sebuah motosikal curi jenis Honda yang telah hilang di Mentakab, Pahang,” katanya ketika sidang media IPD Jempol, semalam.

Beliau berkata, modus operandi suspek dengan menyasarkan rumah kosong dan memecah masuk kediaman menerusi pintu belakang atau di bahagian bumbung rumah.

"Hasil ujian saringan awal urin turut mendapati kesemua lapan suspek positif dadah dan mereka direman sehingga hari ini.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat dan Seksyen 379 A Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata, pasukan khas terbabit turut berjaya menahan seorang lelaki dipercayai aktif melakukan jenayah ragut sekitar Bahau pada tahun ini.

“Suspek berusia 30 tahun itu telah diberkas awal pagi, 7 Mac lalu di sebuah rumah di Taman Sornam. Ujian saringan awal urin turut mendapati suspek positif dadah.

“Sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 milik suspek yang dipercayai digunakan dalam kejadian ragut turut ditemui.

"Kita juga sedang mengesan rakan suspek dipercayai turut terlibat dalam kes ragut di Jempol," katanya


16 views0 comments
bottom of page