top of page
muinsapidin

Masih Ramai Wanita Terpedaya Sindiket `Love Scam’

Mangsa `love scam’ melalui laman sosial masih tidak serik malah dalam kes terbaru seorang ibu tunggal yang juga guru sekolah di Perak telah diperdaya apabila menyerahkan wang sebanyak RM62,000 kepada anggota sindiket rakyat Nigeria.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak, Suprintenden Lee Ewe Kiang berkata, siasatan polis bagaimanapun berjaya mengesan dan menahan enam suspek warga Nigeria termasuk tiga pelajar sebuah kolej swasta berhubung kes itu.

Menurut beliau, ini ekoran kejayaan polis menahan seorang wanita rakyat tempatan berumur 44 tahun yang berperanan sebagai `keldai akaun’ bagi sindiket berkenaan di sebuah pasaraya di Kota Damansara, Petaling Jaya pada 3 Mac lalu.

''Dalam kes ini mangsa adalah seorang wanita Melayu telah berkenalan dengan suspek melalui laman sosial dan tidak pernah berjumpa.

''Terpikat dengan kata-kata dan janji manis lelaki Nigeria yang menyamar ini, wanita berkenaan telah diperdaya apabila memasukkan wang sebanyak RM60,000 kepada anggota sindiket itu,’’ katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah pada Khamis.

Menurut Suprintenden Lee, statistik polis mendapati dalam tempoh dua bulan sehingga Februari tahun ini sahaja sebanyak 34 kes 'love scam telah dikesan di negeri ini yang melibatkan kerugian sebanyak RM1.2 juta.

Katanya, pihak polis juga berjaya membuat lima tangkapan berhubung kes itu.

Lee juga berkata, dalam tempoh sepanjang tahun lalu polis telah mengesan sebanyak 134 kes love scam yang melibatkan kerugian RM2.2 juta dengan 28 tangkapan termasuk 11 warga negara asing.

Sehubungan dengan itu beliau menasihati orang awam supaya sentiasa berwaspada apabila berkenalan melalui media sosial.

Katanya, mereka juga dinasihatkan agar tidak memberikan sebarang maklumat peribadi atau kewangan kepada kenalan siber.


30 views0 comments
bottom of page