top of page
muinsapidin

Warga Emas Dapat Rumah Baru

Impian seorang warga emas yang hidup sebatang kara untuk mendiami sebuah rumah yang sempurna dan selesa akhirnya tercapai.

Ini kerana kisah kedaifan Ismail Kubin atau Pak Mail, 74, yang menjadi viral di Facebook baru-baru ini, mendapat pembelaan kerajaan negeri Perak yang bersetuju untuk membina sebuah rumah baru berharga RM25,000.

Menurut Pak Mail, sebelum ini dia telah berusaha mengumpulkanduit sendiri untuk membaiki rumahnya yang roboh separuh akibat ditimpa pokok lapan tahun lalu.

“Dah lapan tahun saya kumpul duit yang diberikan Jabatan Kebajikan Masyrakat (JKM) RM300 setiap bulan dan ketika ini saya telah pun mengumpul RM15,000.

“Kalau nak baiki balik rumah itu harganya RM19,000, saya fikirkan tak apa saya sanggup simpan duit dan habiskan sekaligus kerana saya betul-betul nak rumah ini sempurna semula,” katanya ketika ditemui Suara Perak di rumahnya yang terletak di Parit 18B, Kampung Lampam, Teluk Intan pada Rabu.

Namun, katanya, dia tidak menyangka setelah sekian lama menanam impian itu, akhirnya kerajaan negeri melalui Yayasan Bina Upaya (YBU) akan membina rumah baru secara percuma.

“Saya memang betul-betul berterima kasih, saya tak sangka impian hanya mahu membaiki rumah tiba-tiba dapat rumah baru.

“Bukan sahaja kerajaan tetapi orang juga telah banyak memberi saya bantuan dan sumbangan, sampai ada yang datang sini dari Johor mengemas rumah saya dan basuh baju,” katanya dengan nada terharu.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai apa yang akan dilakukan dengan wang RM15,000 yang telah disimpan, Pak Mail memberitahu dia tetap akan mengunakan wang tersebut untuk membaiki rumah lamanya.

Tinjauan Suara Perak ke rumah Pak Mail juga mendapati rumah baru itu ketika ini sedang giat dibina di hadapan rumahnya dan dijangka siap dalam tempoh 25 hari lagi.


17 views0 comments
bottom of page