Sudah hampir setahun, M. Ganesan, 36, yang pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan, tidak dapat berjalan ekoran kemalangan jalanraya yang dialaminya pada Februari 2015.
Walaupun pada awal kemalangan, anak bongsu kepada tiga beradik itu masih boleh berjalan tetapi lama kelamaan kesihatannya tidak mengizinkan dan dia terpaksa duduk di rumah.
Mujurlah ibunya K. Puspavati, 59, memberanikan diri untuk menghubungi Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, C. Sivarraajh yang juga Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak untuk memohon bantuan.
Akhirnya, pada 1 Mac lalu, Ganesan selamat menjalani pembedahan untuk membetulkan semula kedudukan saraf ditengkuknya yang membataskan pergerakannya selama ini.
Disebabkan ketidak upayannya, kos pembedahan yang mencecah hampir RM10,000 itu ditanggung sepenuhnya oleh pihak kerajaan melalui tabung kebajikan.
Ganesan ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana Sivarraajh sudi membantu, tambahan pula keluarganya tidak mampu untuk menampung kos pembedahan ribuan ringgit.
“Emak saya pun susah, terima kasihlah sebab tolong kita, sedikit hari lagi saya akan pergi fisioterapi.
“Lepas saya boleh jalan, saya boleh jaga emak yang sudah tua, bapak sayapun sudah tak ada, kita pun orang susah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Star, Ipoh pada Rabu.
Sementara itu, Sivarraajh yang ditemui ketika melawat keluarga itu memberi jaminan akan berusaha membantu, sementara menunggu Ganesan sembuh yang dijangka enam bulan lagi.
“Beliau sedang dalam proses baik pulih, boleh berjalan sikit-sikit, dan selepas melalui proses fisioterapi, saya percaya beliau boleh kembali kepada keadaan asal dan boleh bekerja,” ujarnya.
Sivarraajh mengucapkan terima kasih kepadq semua pihak yang membantu, khususnya Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Kementerian Kesihatan dan pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun.
Beliau percaya banyak lagi kes seumpama itu, bukan sahaja di negeri Perak, tetapi juga di seluruh negara.
“Mereka boleh datang ke mana-mana pejabat MIC dan kami Pemuda akan berusaha sedaya upaya untuk membantu setakat yang termampu,” kata Sivarraajh.