Tokoh ulama terkenal dari Yaman, Habib Umar Hafidz menasihati umat Islam supaya mengambil iktibar terhadap keruntuhan dan perpecahan yang sedang berlaku di berapa negara Islam sehingga merebak kepada sentimen benci-membenci, memusuhi satu sama lain di kalangan pemimpinnya.
Sebaliknya, katanya, umat Islam disaran supaya bersama-sama berganding bahu untuk meredakan keadaan dalam mencari perdamaian dan keharmonian di dalam kehidupan ini.
Menurut beliau, orang yang berakal itu adalah orang yang bermuhasabah untuk dirinya di masa ini dan di masa akan depan iaitu akhirat nanti.
"Kita juga perlu mengambil iktibar daripada negara-negara Eropah yang mana mereka bersatu atas nama Eropah walaupun budayanya berbeza.’’ katanya.
Habib Omar berkata demikian semasa memberikan ceramah bertajuk: Keutuhan Silatulrahim Kekuatan Ummah di Majlis Multaqa Pegawai Kerajaan Bersama Habib Umar di Dewan Serbaguna Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak di Ipoh pada Rabu.
Beliau ditanya oleh seorang hadirin pada sesi soal jawab tentang isu wujud kumpulan yang cuba menjatuhkan pemimpin negara dan kerajaan yang dipilih rakyat.
Majlis itu yang dianjurkan oleh Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR) dihadiri ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri Perak.Hadir sama Pengerusi KADIR, Dato' Azhar Ahmad.
Kepada soalan seorang lagi peserta mengenai kebimbangan kegiatan mubalig luar yang memurtadkan umat islam di negara ini, katanya, keadaan ini berlaku kerana sikap lemahnya umat Islam itu sendiri terhadap agamanya.
"Seburuk-buruk kekufuran adalah murtad kerana awalnya Islam kemudian keluar daripada Islam,’’ katanya.
Menurut Habib Umar, umat Islam harus sentiasa diberi pemahaman tentang agama Islam meliputi akhlak, tindakan dan perbuatannya.
Selain itu katanya, kerajaan hendaklah meletakkan dasar-dasar utama dalam hal ini khususnya dalam melaksanakan dakwah bagi meningkatkan syiar Islam di negara ini.