Seorang lelaki hanya mengalami kecederaan walaupun lori tiga tan yang dipandunya remuk selepas terbabas di Jalan Lenggong-Gerik pada pagi Rabu.
Dalam kejadian itu, mangsa, Lee Men On, 53, cedera akibat tersepit di dalam lorinya yang terbabas lalu terbalik di bahu jalan.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong, Penolong Penguasa Bomba Anuar Mohd Saff berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar 10.22 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.
"Setibanya kami di tempat kejadian kami mendapati sebuah lori tiga tan telah terbabas dan menyebabkan mangsa tersepit.
"Kami telah menggunakan alatan memotong untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan menyerahkannya kepada pihak perubatan untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada Suara Perak pada Rabu.
Tambahnya, mangsa dihantar ke Hospital Gerik untuk rawatan lanjut.
Katanya, keseluruhan operasi menyelamat tamat sekitar jam 10.29 pagi.