top of page
muinsapidin

Polis Ditendang, Dihentak Helmet 'Stunt-Man'

Seorang lelaki bertindak kasar dengan mencederakan polis trafik yang cuba menahannya kerana kesalahan lalu lintas di Jalan Sultan Nazrin Shah, berhampiran pejabat Belati Wangsa pada Isnin malam.

Dalam kejadian sekitar jam 11.49 malam itu, Korporal Mohd Zamri Daud ditendang beberapa kali dan bengkak bahagian muka sebelah kanan selepas dikatakan dihentak dengan helmet milik suspek.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, suspek berusia 27 tahun dari Johor yang menunggang motosikal Honda Wave itu ditahan ketika cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya.

"Suspek yang menunggang secara berbahaya dan menyongsang melawan arus cuba dihentikan oleh anggota berkenaan dengan memegang 'handle' motosikal suspek sebaliknya tangannya telah dipukul dan ditepis.

"Tiba-tiba, suspek melompat dari motosikal dan berlari ke arah anggota berkenaan sebelum menghentak bahagian kanan kepalanya dengan helmet dan menengking menggunakan kata-kata kesat," katanya kepada Suara Perak pada Selasa.

Katanya, sejurus selepas itu suspek menendang anggota tersebut sambil mengeluarkan kata kesat sebelum dihentikan oleh pengguna jalan raya dan rakan setugas yang lain.

Sum berkata, suspek berkenaan mengalami luka ringan di bahagian kaki dan tangan akibat aksi terjun dari motosikalnya.

"Saman 257 telah dikeluarkan ke atas suspek di atas kesalahan memandu tanpa lesen dan masuk laluan sehala.

"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada penjawat awam dan Seksyen 14 Kesalahan kesalahan kecil 1955," ujarnya.

Beliau memberitahu, polis turut menahan seorang pembonceng wanita berusia 16 tahun yang berasal dari Sungai Siput.


10 views0 comments
bottom of page