Kuih yang dijual di sebuah gerai di Siputeh, Batu Gajah didapati tercemar dengan bahan racun kimia dikenalipasti sebagai punca menyebabkan 50 dimasukkan ke hospital akibat keracunan makanan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, yang mengesahkan perkara ini berkata sampel kuih daripada gerai itu telah dihantar ke Jabatan Kimia bagi mengenalpasti jenis racun dan punca ia merebak pada makanan tersebut.
Sebahagian mangsa yang mendapat rawatan di HRPB akibat keracunan makanan yang tercemar dengan bahan kimia.
Menurutnya, kuih itu didapati terdedah dan dicemari racun sebelum pelanggan gerai terbabit membeli dan memakannya pada pagi Jumaat lalu.
Katanya, selain kuih, sampel rumput, tong semburan dan racun yang terletak berhampiran gerai itu juga telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.
"Kita juga mengambil barangan lain untuk dijadikan sampel antaranya pisau, darah, senduk, papan pemotong serta beberapa jenis makanan termasuk nasi lemak, kuih, sambal dan air," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Isnin.
Selain itu, Dr Mah berkata, setakat pukul 12 tengahari Isnin seramai 84 orang telah menjalani pemeriksaan dan rawatan di beberapa hospital.
Katanya daripada jumlah itu, enam dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun dengan tiga daripadanya masih dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi sejak Jumaat, 11 Mac.
Sementara itu, lima lagi ditahan di Hospital Batu Gajah, manakala seorang masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Ipoh, katanya.