top of page
muinsapidin

Empat Orang Lelaki Asyik Nikmati Air Ketum Ditahan

Empat orang lelaki diberkas ketika sedang asyik menikmati penangan air ketum di sebuah dangau sekitar Ijok,Batu Kurau pada malam Isnin.

Kesemua mereka ditahan dalam serbuan Ops Tapis oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik sekitar 10.10 malam Isnin berhampiran sebuah Taman Perumahan Redang Panjang, Ijok.

Ketua Polis Daerah Selama, DSP Loo Lian Lay berkata, hasil pemeriksaan awal ke atas empat lelaki tempatan yang berusia 23 hingga 51 tahun tersebut, tidak menemui sebarang bahan mencurigakan.

"Pihak kami kemudian melakukan pemeriksaan lanjut di kawasan itu dan menemui 11 botol plastik lutsinar dan 19 bungkusan plastik lutsinar diikat dengan gelang getah masing-masing di dalam sebuah bekas plastik dan polisterin.

"Kesemua barangan ini disyaki mengandungi 28 liter cecair ketum dan diletakkan di atas tanah tempat mereka ditahan," katanya ketika dihubungi Suara Perak pada Selasa.

Katanya, salah seorang lelaki yang ditahan iaitu pemilik dangau mendakwa bahawa daun ketum tersebut diperolehi dari kebunnya di kawasan Redang Panjang dan hanyalah untuk kegunaan sendiri.

Lian Lay berkata, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan kesemua suspek akan direman bagi siasatan lanjut sebelum diikat jamin.

"Saya mengajak orang ramai supaya bekerjasama dan membenci air ketum yang selama ini telah menjadi masalah sosial kepada orang ramai terutama remaja dan pelajar sekolah serta menyalurkan maklumat kepada pihak polis," ujarnya.


2 views0 comments
bottom of page