top of page
muinsapidin

Agih Bantuan Secara Telus

Peruntukan bantuan dan sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu diagihkan secara telus dengan mengambil kira mereka yang tidak berkemampuan dan masih berada di bawah garis kemiskinan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, pihak JKM pada masa ini sedang memperhalusi senarai penerima bantuan ehsan untuk mempastikan syarat kelayakan ditepati.

Menurutnya, masyarakat setempat perlu memahami bahawa kerajaan melalui JKM tidak pernah berniat untuk mengetepikan keperluan kebajikan mereka yang memerlukan, malah sentiasa cuba untuk mengenalpasti permasalahan yang boleh dibantu pada setiap masa.

“Jangan ada yang beranggapan bahawa apabila kita menghentikan polisi bantuan yang diberikan selama 7, 8 tahun sebelum ini kita menganaktirikan mereka dan bersikap pilih kasih kerana ini bukanlah apa yang berlaku.

“ Kita akan menilai secara teliti beberapa faktor tambahan dan yang paling utamanya adalah sama ada mereka berada di bawah garis kemiskinan lagi atau tidak, samada mereka boleh menanggung kehidupan sendiri atau tidak, agar bantuan boleh diberikan kepada mereka yang lebih tidak bernasib baik dan memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada 250 penerima dalam Program Sembang Santai Penerima Bantuan JKM Bersama YB ADUN Kawasan Belanja pada Isnin.

Tambahnya, pihak JKM akan menilai keupayaan dan pendapatan anak-anak penerima yang sudah bekerja dan samada mereka mampu untuk meneruskan kehidupan dengan sebaiknya tanpa bantuan bulanan.

“ Anak-anak kena ada kesedaran dan prihatin kerana ibubapa mereka juga menginginkan keselesaan, kemudahan dan kecukupan harian jadi sebagai anak kita kena ambil tahu dan memberikan yang semampunya,” ujarnya.

Drs Nizar berkata, walaupun terdapat segelintir yang merungut mengenai keputusan pemansuhan sumbangan namun mereka harus mengubah corak pemikiran sekiranya sudah mampu berdiri sendiri dan tidak bergantung harap kepada JKM semata-mata.

Sementara itu, Pegawai JKM Perak Tengah, Nor Azlinda Ahmad Shaari berkata pihaknya telah membelanjakan sekitar RM600,000 kepada 2371 penerima di sekitar daerah Perak Tengah setiap bulan.

Katanya, bantuan tersebut diberikan bukan terhad kepada wang ringgit sahaja malahan juga dari segi pembaikan rumah rosak dan terbakar,tabung bencana, pemberian barangan keperluan asas seperti makanan, rawatan dan barangan perubatan secara seadanya.

“JKM bertindak sebagai satu badan yang mengenalpasti, membantu orang ramai yang daif secara ikhlas dan kami perlu memastikan hanya mereka yang benar-benar layak dibantu, bukannya mereka yang sudah stabil dan mempunyai pendapatan sendiri.

“Untuk pengetahuan semua, bagi permohonan yang dihentikan atau ditolak, penerima masih boleh melakukan rayuan dan kami akan cuba untuk membantu dan menilai berdasarkan syarat dan kriteria yang dipenuhi,” ujarnya.


26 views0 comments
bottom of page