UMNO Perak mendapat pujian daripada Naib Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di atas kesatupaduan yang dipamerkan oleh kepimpinan seluruh peringkat akar umbi.
Menurut beliau, walaupun parti sedang menghadapi tentangan, bukan sahaja daripada luar dan dalam, namun UMNO Perak di bawah kepimpinan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir tetap mantap dengan mempamerkan kesatupaduan.
“Kami benar-benar teruja dengan kesatupaduan yang dipamerkan oleh kepimpinan seluruh akar umbi Perak,’’ katanya semasa berucap merasmikan serentak Persidangan Tahunan UMNO Cawangan 4 peringkat negeri Perak di Stadium Indera Mulia,Ipoh pada Ahad.
Hadir sama di majlis perasmian itu mantan Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramly Ngah Talib dan Tan Sri Mohd Tajol Rosli Ghazali.
Menurut Ahmad Zahid, kepimpinan tertinggi UMNO melihat negeri Perak berada ditahap kesatupaduan yang cukup mantap meskipun menghadapi pelbagai cabaran yang cuba menggugat keutuhan parti dan sentiasa bersama pucuk pimpinan parti termasuk satu gerakan untuk membuat deklarasi baru-baru ini.
“Saya yakin dan percaya apabila telah wujud perpaduan dalaman, maka segala permasalahan dan cabaran yang mendatang akan dapat dirungkai kekusutannya dengan cara terbaik,’’ ujarnya.
Sehubungan itu, kata beliau, UMNO Pusat akan terus memberikan sokongan jitu kepada UMNO Perak dalam memperjuangkan agenda parti bagi membela nasib masa depan bangsa, agama dan negara.
Sementara itu Dr Zambry di dalam ucapannya mengulangi pendirian UMNO Perak untuk terus berdiri teguh di belakang kepimpinan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menghadapi cabaran gerakan deklarasi oleh pihak pembangkang yang cuba menjatuhkan pemimpin dan kerajaan.
“UMNO Perak kata orang Sabah tatap setia bersama pucuk pimpinan parti dalam menghadapi cabaran ini,’’ katanya yang mendapat tepukan gemuruh daripada para perwakilan.