top of page
muinsapidin

Pelan Tindakan Strategik Pembangunan Usahawan Baru

Di dalam kesungguhan mencapai hala tuju setiap portfolio di bawahnya, Datuk Samsudin Abu Hassan (gambar) tidak berkecil hati digelar exco pelan tindakan strategik kerana mahu mempastikan segala tindakan yang hendak dilaksanakan mempunyai fokus dan sasaran.

Sebaik sahaja diberi tanggungjawab menjaga portfolio hal ehwal pengguna, pembangunan usahawan, koperasi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil, beliau mewujudkan beberapa pelan tindakan strategik sebagai garis panduan gerak kerja jawatankuasa yang dipengerusikannya.

Bermula dengan Pelan Tindakan Strategik Ketua-Ketua Kampung Daerah Batang Padang 2015 - 2017, beliau memperkenalkan Pelan Tindakan Strategik PEMADAM 2015 – 2020, Pelan Tindakan Strategik NGO 2015 – 2010 dan Pelan Tindakan Strategik Usahawan Perak 2016 – 2020.

Setiap pelan tindakan strategik itu diwujudkan hasil program percambahan minda semua pihak yang terlibat.

Terbaharu, beliau bakal mewujudkan Pelan Tindakan Strategik Pembangunan Usahawan Berpotesi 2016 – 2020 melalui sesi bengkel `brainstorming’ yang dihadiri lebih 60 wakil agensi, persatuan perniagaan, persatuan belia, DUN Belia dan institusi pengajian tinggi.

Bengkel itu antara lain untuk mengenal pasti, membangun dan membimbing bakal usahawan agar menjadi usahawan berjaya yang dapat menyumbang kepada kelestarian ekonomi negeri.

“Dengan bengkel kedua ini, ia menjurus kepada usahawan-usahawan baru yang dilahir dan akan dilahirkan untuk mereka diberi maklumat tentang para syarat untuk menjadi usahawan, tentang kemudahan dan peluang yang boleh mereka perolehi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel dua hari ini di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh pada Isnin.

Samsudin memberitahu, bengkel kali ini turut dihadiri oleh beberapa ketua jabatan serta agensi yang dipertanggungjawabkan untuk pembangunan usahawan.

“Kita berharap dengan bengkel ini nanti, satu pelan tindakan strategik yang terancang boleh dibangunkan dan digunakan bagi memberi panduan dan tanda aras kita, khususnya bagi membangunkan usahawan baru,” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa hasil penemuan bengkel ini akan digabungkan dengan hasil dapatan bengkel yang diadakan di Langkawi awal tahun ini, yang dikhususnya untuk usahawan yang telah lama wujud.

Menurutnya, pelan tindakan strategik itu kemudiannya akan dibentangkan di dalam mesyuarat Exco untuk mendapat kelulusan dan sokongan kerajaan negeri.


28 views0 comments
bottom of page