top of page
muinsapidin

Pelabuhan baru akan dibangunkan di Hilir Perak

Satu lagi pelabuhan baru akan dibangunkan di Hilir Perak di bawah usaha kerajaan negeri mengukuhkan lagi kedudukan Perak dalam industri pelabuhan negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kajian dan perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan sudahpun berjalan secara berperingkat-peringkat.

Katanya perbincangan itu turut melibatkan pemain industri dalam dan luar negara.

“Beberapa siri perbincangan yang diadakan itu adalah untuk melihat potensi mewujudkan kerjasama dengan pemain-pemain global yang ada di seluruh negara.

“Setakat ini, respon yang kita terima amat positif dari pemain industri global untuk datang ke daerah berkenaan,” katanya.

Lawatan ke Tapak Cadangan Projek Pelabuhan Baru dan Menaiki Bot Menyusuri Sungai Dinding di Lumut Port Industrial Park, Jalan Kampung Acheh, Mukim Lumut

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Ulang Tahun ke 20 dan Upacara Pecah Tanah Sempena Projek Pembesaran dan Pemodenan Lumut Port pada Isnin.

Turut hadir, barisan exco kerajaan negeri, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Datuk Aminuddin Md Desa, Pengerusi Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd (LMT), Datuk Azian Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif LMT, Mubarak Ali Gulam Rasul.

Dr Zambry turut memberitahu, pihaknya juga telah mengenal pasti lokasi bagi pembangunan pelabuhan baru it sekiranya peracangan tersebut dilaksanakan.

“Kita harapkan ianya dapat dijadikan satu lagi pelabuhan utama, yang menjadi satu daripada rangkaian keseluruhan di sepanjang persisiran pantai negeri Perak ini.

“Insyaallah dengan kerjasama dari pihak Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Ahli Parlimen Bagan Datoh), kita yakin dapat bangunkan Hilir Perak dengan wujudnya pelabuhan baru ini sebagai katalis,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, pelabuhan baru itu nanti mungkin akan dikhususkan kepada pengendalian kontena-kontena dari dalam dan luar negara.


96 views0 comments
bottom of page