Lumut Port diyakini mampu bersaing dengan pelabuhan-pelabuhan terkemuka lain di negara ini dengan siapnya pelan pembesaran dan pemodenan pelabuhan itu menjelang 2020.
Melalui pelan strategik lima tahun itu, sejumlah RM225 juta akan dilabur untuk memanjangkan lagi saiz pelabuhan di Kampung Aceh daripada 510 meter kepada satu kilometer, selain mempelbagaikan lagi perkhidmatan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, antara perkhidmatan tambahan yang dicadangkan adalah pengendalian kargo “bersih” seperti beras, tepung, gula dan pelbagai lagi barangan makanan.
“Jika ketika ini mereka hanya mengendali kargo yang bersifat bulk atau “dirty” kargo (bahan mentah), selepas ini mereka akan pergi ke dalam pengendalian kargo-kargo yang dipanggil "clean" kargo.
“Di kawasan-kawasan tertentu juga dijadikan tempat-tempat kapal berlabuh, khususnya seperti kapal-kapal mewah dan sebagainya, ini merupakan perancangan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Ulang Tahun ke 20 dan Upacara Pecah Tanah Sempena Projek Pembesaran dan Pemodenan Lumut Port di Lumut pada Isnin.
Menurut Dr Zambry, pelan pemanjangan itu juga dijangka akan mencapai sehingga 90 peratus peningkatan dalam kapasiti pelabuhan Lumut Port, sekaligus menambah jumlah kapal yang boleh dikendalikan dalam satu-satu masa.
“Kalau kita lihat dari segi potensi yang ada di kawasan ini, amat baik kerana jika kita lihat Perak mempunyai jajaran pantai yang terpanjang di barat Semenanjung Malaysia.
“Kawasan sedia ada 1,000 ekar di sekitar ini juga telah pun penuh, pihak pentadbiran telah pun meracang untuk memperkembang lagi kawasan ini dan tapah-tapak telah juga dikenal pasti,” jelasnya.
Lumut Port dikendalikan Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dengan kerjasama Integrax yang merupakan anak syarikat TNB.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1995, Lumut Port telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan di mana ketika ini, pelabuhan itu mampu mengurus sekitar 45 juta tan metrik setahun dan boleh mengendali 420 kapal dalam tempoh yang sama.