Pelaksanaan sistem perladangan berteknologi tinggi iaitu Ladang Bertingkat (Vertical Farm) bagi memaksimakan sektor pertanian di negeri Perak dilihat sebagai langkah progresif bagi masa depan.
Usul cadangan di bawah Jawatankuasa Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia yang dibentangkan Muhammad Naim al-Amin Shaharuddin (DB 39 ) itu mendapat sokongan majoriti perwakilan.
Muhammad Naim berkata, objektif utama pelaksanaan tersebut adalah untuk memanipulasikan alam sekitar untuk pertumbuhan yang lebih cepat dan selamat berbanding kaedah konvensional.
Katanya, sistem ladang bertingkat dapat meminimakan penggunaan tanah dan menggunakan ruang terhad di kawasan bandar dengan sebaiknya, malah ia juga dapat digunakan untuk jangka masa panjang.
“ Hasrat kita adalah untuk mengurangkan kos pengangkutan malah antara elemen menarik pada aplikasi ini adalah produk pertanian bebas bahan cemar, justeru semua jenis penanaman dapat dijalankan sepanjang tahun tanpa masalah.
“ Selain menarik pelancong kerana kaedah penanaman menggunakan lampu ultra ungu yang cantik pada waktu malam, sistem ladang bertingkat ini juga akan mengelakkan penerokaan kawasan baru dan menyelamatkan habitat semulajadi flora fauna kita,” katanya ketika membentangkan usul kelima di Sidang Dewan Belia, Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama di Bangunan Darul Ridzuan pada Ahad.
Menurutnya, kaedah tersebut akan menaikkan Perak sebagai bandar contoh berteknologi tinggi kepada negeri lain di Malaysia.
Mengenai keusahawanan inovatif, jawatankuasa itu mencadangkan penubuhan koperasi belia yang secara dasarnya meningkatkan ekonomi belia untuk menjadi usahawan tani dalam masa sama memberi khidmat perundingan teknikal dari segi penyelenggaraan.
Tambahnya, Koperasi Belia itu amat penting sebagai penggerak dan pemegang amanah untuk tabung agihan keuntungan kepada para ahli serta menjadi pembiaya bagi perkembangan projek ke bandar berdekatan.
“ Cadangan ketiga dalam usul kami adalah penubuhan satu Hub Inovasi untuk mengatasi masalah belia dalam mengembangkan idea rekacipta, inovasi mereka akibat kekurangan dana, faktor pengkomersialan dan kekurangan pengetahun mengenai pempatenan produk.
“ Hub ini juga akan berfungsi sebagai agen jalinan kerjasama antara kerajaan dan swasta yang menyediakan khidmat dalam bidang kejuruteraan, rekacipta dan multimedia- sebagai platform utama demi memperkasa pembangunan inovasi belia,” ujarnya.