top of page
muinsapidin

Perwakilan Usul Projek, Bantu Belia Miliki Perumahan

Menyedari mengenai harga rumah yang tinggi di sekitar negeri Perak khususnya untuk golongan belia, satu usul telah dicadangkan bagi mengenal pasti dan menilai permasalahan tersebut.

Usul Pemantapan Pembangunan Belia: Mempelbagai Peluang Perumahan Mampu Milik, Meningkatkan Kuota Bilangan Ahli Majlis Daerah dan Pemerkasaan Sukan Permotoran Belia Perak yang dikemukakan Muhammad Ariff Zaky Mohd Zolkafly (DB 46) pada hari kedua Sidang Dewan Belia mendapat pelbagai reaksi sebelum mencapai persetujuan majoriti perwakilan.

Dalam pembentangannya, Muhammad Ariff menyentuh mengenai beberapa faktor yang mempengaruhi harga jualan rumah seperti kos tanah kos pembinaan, lokasi serta aktiviti spekulasi hartanah.

Katanya, pendekatan baharu perlu dilaksanakan dalam membantu golongan belia memiliki rumah walaupun terdapat beberapa skim rumah mampu milik tersedia seperti PR1MA, SPNB san PPA1M setakat ini.

"Sebuah Skim Perumahan Belia Aman Jaya (SPABJ ) khusus untuk belia 21 - 40 tahun yang menawarkan rumah bernilai RM 50,000 hingga RM100,000 harus dilaksanakan.

"Bagi setiap projek, pihak pemaju diberikan kelebihan seperti premium tanah rendah di kawasan-kawasan strategik dan kerajaan negeri harus membantu dari segi bayaran prasarana dan infrastruktur serta kemudahan awam," katanya ketika membentangkan usul pada Ahad.

Tambahnya, kerajaan negeri juga perlu mewujudkan kembali Rancangan Tanah Belia (lot perumahan) dengan meminda syarat supaya ia lebih efektif serta membeli lebih banyak kuota pemilikan tanah sebanyak 50 peratus kepada Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) untuk dimanfaatkan oleh perancangan Skim Rumah Insan Amanjaya (SRIA).

Selain itu, sebuah Lembaga Pertubuhan Negeri (LPN ) perlu ditubuhkan bagi mengawal selia projek perumahan di mana pengurusan tertingginya turut dianggotai belia yang akan melontarkan pandangan dan keputusan bagi sebarang tindakan lembaga.

Sementara itu, beliau juga mencadangkan agar keterlibatan belia dalam pembangunan kawasan setempat diperkasa dengan meningkatkan kuota keanggotaan sebanyak 35 peratus bagi jawatan di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Bagi pemerkasaan sukan permotoran yang mendapat celahan dan hujah bahas sengit ketika pembentangan, Muhammad Ariff Zaky mencadangkan beberapa pendapat yang dipertimbangkan oleh seluruh isi dewan.

"Kita boleh menangani masalah gejala sosial di kalangan belia dengan membina sebuah Litar Sukan Permotoran sebagai solusi kepada para belia yang menggemari kesan adrenali dan keterujaaan merempit selama ini.

Terdapat juga idea tambahan daripada beberapa wakil lain untuk membina deretan rumah kedai dalam litar tersebut bagi meningkatkan pendapatan golongan belia di kawasan itu yang boleh menjual perkakas motor, bengkel memperbaiki motosikal dan sebagainya.

"Bagi permulaan, Litar Sukan Permotoran ini boleh dibina di Ipoh dan Taiping sebagai kawasan tumpuan dan diselia oleh gologan belia bersama ikon permotoran negara.

"Kami percaya sekiranya anak muda yang gemar merempit diberikan platfrom, maka kes perlanggaran undang- undang akan berkurangan malah kita boleh mengenalpasti ikon sukan permotoran pada usia muda," ujarnya.


30 views0 comments
bottom of page