Persidangan Dewan Belia Perak meluluskan usul untuk memperkasakan peranan belia dalam integrasi nasional dan pembudayaan aktivis belia dalam program keagamaan secara aktif.
Usul Pemerkasaan Peranan Belia Dalam Organisasi Masjid/Rumah Ibadat dan Pengukuhan Integrasi Nasional Perak yang dicadangkan oleh wakil Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Modal Insan Dan Integrasi Nasional, Nur Muhammad Naim Kamaruddin (DB 29 ) itu mendapat sokongan majoriti perwakilan.
Nur Muhammad berkata, keterlibatan belia di dalam pengukuhan integrasi nasional dan pembangunan sahsiah secara terus adalah amat penting bagi mengurangkan gejala sosial yang semakin menebal hari ini.
“Antara inisiatif yang boleh dilakukan adalah penubuhan Program Integrasi Nasional Perak (PINP) yang akan memperkukuhkan perpaduan masyarakat dari peringkat akar umbi iaitu di kalangan pelajar sekolah di dalam negeri ini.
“Kita juga memerlukan satu jentera pelaksana PINP yang akan menjalankan pelbagai aktiviti pemuafakatan seperti ceramah motivasi, sukaneka antara kaum dan perkhemahan selain promosi dan advokasi mengenai kepentingan perpaduan juga harus dijalankan kepada masyarakat setempat,” katanya ketika membentangkan cadangan usul pada hari kedua Sidang Dewan Belia, Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama pada Ahad.
Dari segi hal ehwal agama, Nur Muhammad Naim mencadangkan kempen “Jom Subuh Berjemaah” di sekitar masjid dan surau dilaksanakan di Perak untuk melatih disiplin anak muda.
Beliau juga mengharapkan dana berpatutan disediakan bagi persiapan sarapan para pelajar yang menyahut kempen tersebut yang diyakini dapat meningkatkan lagi ukhuwah sillaturahim sesama mereka.
Tambahnya, sebuah jawatankuasa khas - Sekretariat Perundingan Antara Agama yang dianggotai oleh belia bukan Islam dan ketua agama masing-masing dapat ditubuhkan dengan harapan dapat melicinkan toleransi antara agama secara majmuk dan demokratik.
“ Kita boleh menjalankan kempen galakan ke rumah-rumah ibadat masing-masing, menjalankan program seperti Majlis Dialog Antara Agama agar kita dapat memenuhi visi Malaysia yang penuh dengan sifat hormat-menghormati, berpengetahuan mengenai agama di Malaysia sekaligus mencapai status negara maju,” katanya lagi.