Dewan Belia Negeri Perak menerima usul penubuhan Kluster Usahawan Belia yang bertujuan memberikan platform terbaik bagi belia untuk mewujudkan jaringan perniagaan ke peringkat luas dan global.
Usul berkenaan yang diluluskan dengan sokongan majoriti turut mendapat pelbagai reaksi positif daripada beberapa perwakilan di dalam persidangan kali pertama itu.
Perwakilan Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Usahawan, Pelancongan dan Pengantarabangsaan, Mohamad Faizal Haramaini (DB 04) berkata, sinergi yang bakal dimasukkan sebagai komponen di bawah Pelan Tindakan Strategik Usahawan Negeri Perak itu merupakan satu kaedah efektif untuk memahami permasalahan usahawan belia di peringkat akar umbi.
"Tiga isu utama yang menghantui usahawan belia adalah masalah dana memulakan perniagaan, informasi dana dan pinjaman kerajaan serta, pengetahuan menguruskan perniagaan dalam kalangan golongan peneraju negara ini.
"Sekiranya belia dilibatsamakan sebagai wakil khas dalam pelan tindakan tersebut sebagai wakil mesyuarat, maka sebarang permasalahan boleh disampaikan secara terus kepada pembuat keputusan kerajaan negeri," katanya ketika menyampaikan hujah usul pertama bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama bagi Sidang Dewan Belia di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Jelasnya, kluster usahawan itu akan bertanggungjawab mengumpul maklumat isu-isu usahawan belia, menjalankan kajian impak sosial serta menyampaikan informasi keusahawanan kepada belia.
Selain itu, Mohamad Faizal juga mengesyorkan anggota kluster usahawan belia untuk terlibat dalam konvensyen keusahawanan atau diberi segmen khas dalam Pangkor International Development Dialogue ( PIDD).
Katanya, golongan pemikir kritikal dari kluster usahawan belia yang terlibat secara langsung ini pula dapat berkongsi idea, bertukar-tukar pendapat dan kepakaran yang bakal mewujudkan peluang keusahawanan besar.
"Pelbagai mekanisme seperti pembinaan laman sesawang atau laman media sosial khas pula dapat menggerakkan segala informasi tentang keusahawanan secara holistik," ujarnya.
Mohamad Faizal berkata kluster itu juga untuk membantu memperbaiki kadar produktiviti negara yang tidak setimpal dengan pendapatan bulanan golongan belia secara khusus.