Usaha berterusan BAIDURI menerusi pendidikan yang diterapkan dalam Program Anak Angkat BAIDURI disifatkan sebagai langkah murni serta membuka peluang kepada anak muda untuk berjaya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kassim berkata, semua pelajar yang dipilih melalui program tersebut merupakan aset kepada kemajuan negeri dan negara.
Menurut beliau, segala bantuan dan program yang dilaksanakan BAIDURI selama ini adalah cerminan kepada kepimpinan negeri dan Menteri Besar sendiri yang begitu mementingkan pendidikan.
"Tidak dapat dinafikan bukan semua yang cemerlang dalam bidang akademik namun usaha BAIDURI dalam menitikberatkan pendidikan kepada para pelajar wajar dipuji," katanya semasa berucap merasmikan Program Anak Angkat BAIDURI Kohort (Kumpulan) Kedua di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Ipoh pada Sabtu.
Hadir sama Yang DiPertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli, ibu-ibu angkat yang terdiri daripada ahli BAIDURI termasuk wakil Pengetua dan guru bagi sekolah masing-masing.
Bagi siri kedua ini, seramai 131 orang pelajar terpilih sebagai anak angkat merangkumi 63 buah sekolah, 40 daripadanya pelajar lelaki dan 91 perempuan.
Dalam pada itu, Saripah di dalam ucapannya menjelaskan jumlah anak angkat kali ini meningkat berbanding 113 orang sebelumnya.
Menurut beliau, ia untuk memberi kesempatan kepada pelajar di kawasan yang tidak diwakili oleh wakil rakyat kerajaan mendapat peluang yang sama seperti DUN lain.
"Seperti tahun-tahun sebelumnya kita laksanakan program ini, alhamdulillah kita bertemu dalam sesi perkenalan dengan ibu angkat masing-masing.
Kita guna istilah anak angkat supaya dapat wujudkan hubungan erat, tidak hanya di majlis ini sebaliknya banyak lagi program yang akan disusun khas untuk anda semua," kata Saripah.
Di sepanjang program itu, terdapat beberapa slot motivasi dan sejarah negeri Perak diberikan kepada anak angkat yang hadir.
Secara ringkas Program Anak Angkat BAIDURI adalah hasil cetusan ilham Saripah yang mensasarkan pelajar Tingkatan 4 dari keluarga berpendapatan sederhana yang akan dibantu sehingga tamat persekolahan.