Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menandatangani dokumen Deklarasi Rakyat diselar Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Dr Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak berkata tindakan Tun Mahathir itu terang-terang bertujuan untuk menanam kebencian rakyat terhadap pemimpin dan bukannya untuk kesejahteraan.
Menurutnya Tun Mahathir sebenarnya telah terperangkap dalam permainan pembangkang dengan cubaan menjejaskan iklim politik dalam negara dan ianya bukan sahaja mensasarkan Perdana Menteri semata-mata.
“Walau apa pun justifikasi diberikan, yang jelas Dr Mahathir telah hilang pertimbangan hanya kerana luapan amarahnya terhadap Perdana Menteri.
“UMNO Negeri Perak menyeru kepada semua ahli parti khususnya agar tidak hilang fokus terhadap strategi pembangkang kerana mereka akan menggunakan apa sahaja helah termasuk berbaik dengan Dr Mahathir yang selama ini musuh nombor satu mereka untuk menggugat kerajaan,”katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri ( DUN) Belia Perak Sesi 2016/2017, Penggal Pertama 2016 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Sabtu.
Katanya, UMNO Negeri Perak akan terus memantapkan gerakan parti dalam usaha memastikan mandat rakyat yang diberikan kepada Perdana Menteri dalam menerajui pentadbiran negara dilaksanakan penuh tanggungjawab.
“ Kami bersama dengan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, memastikan aku janji kepada rakyat ditunaikan dan kesejahteraan rakyat dapat diutamakan.
“ Kesatuan dan perpaduan dalaman parti di negeri Perak akan terus diperkukuhkan demi menjamin kerajaan yang dipilih rakyat melalui sistem demokratik tidak akan terancam dengan mana-mana pihak,”katanya lagi.