top of page
muinsapidin

Dewan Belia Pelengkap Proses Percambahan Minda

Dewan Belia Negeri Perak yang bersidang buat pertama kalinya pada Sabtu, berfungsi sebagai pelengkap kepada proses percambahan minda dan penjelmaan gagasan yang realistik bagi negeri Perak secara amnya. Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, objektif utama penubuhan jawatankuasa itu adalah untuk menggarap sebarang cadangan bernas bagi perancangan pembangunan negeri. Menurut beliau, antara elemen utama dalam menghubungkan suara masa hadapan dengan kepimpinan negeri hari ini adalah proses 'engagement' yang perlu dijadikan budaya di kalangan jawatankuasa baru itu.

Dr Zambry (tengah) bersama para perwakilan Dewan Belia pada hari pertama persidangan dewan tersebut hari ini.

"Jika selama ini kedengaran suara di kalangan generasi muda, tentang wujudnya pemisah antara badan perundangan dengan mereka, maka perwakilan Dewan Belia Negeri Perak mestilah merapatkan diri dengan mereka bagi membentuk tradisi baru dalam proses membawa suara rakyat ke dewan persidangan. "Sebagai wakil generasi muda di luar sana, kalangan perwakilan janganlah membentuk persepsi wujudnya kumpulan elitis, malah, hindarilah politiking sesama sendiri dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai Perwakilan Dewan Belia Negeri Perak, kerana fungsi dewan yang mulia ini adalah untuk mengangkat citra negeri dan memartabatkan kedudukan rakyat," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Dewan Belia Perak Penggal Pertama, 2016/2017 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Sabtu. Menurut Dr Zambry, keterlibatan adalah resam yang perlu dipupuk kerana ia adalah soal pembelaan nasib rakyat dalam meraikan perbezaan pendapat dan memperbaiki aliran pemikiran kerana kita masih dalam kerangka besar yang sama iaitu berkhidmat untuk rakyat Ujarnya, Dewan Belia merupakan medan ujian dan pelantar terbaik buat generasi muda untuk memikul amanah, dalam memastikan isu-isu rakyat khususnya yang menyangkut rakan sebaya.

Beliau menambah, ia juga berperananan mengetengahkan cara baru dalam melihat sesuatu isu, mempamerkan keterbukaan dalam membahaskan isu-isu mengenai kepentingan rakyat dan negeri, serta melontarkan cadangan atau idea-idea baru yang bersifat di luar kebiasaan. Jelasnya, mungkin ramai yang ingin membentuk pelapis kepimpinan sesuai dengan idealisme yang didukung oleh mereka pada masa kini di samping berupaya menilai cabaran semasa serta memberikan jawapan kepada permasalahan yang timbul. Oleh itu, kata Dr Zambry, perubahan serta anjakan pemikiran yang segar dan baharu perlu dimulakan sekarang dan cetusan idea yang diluar jangkauan dan kebiasaan harus diraikan malah perlu dicungkil di kalangan generasi muda. "Sehubungan itu, langkah kerajaan negeri mewujudkan Dewan Belia Negeri Perak, bukanlah usaha yang bersifat tayangan atau pameran, tetapi sebaliknya ia merupakan keazaman untuk membentuk generasi pelapis yang bertanggungjawab bagi mencorak kehidupan masa hadapan,” kata beliau. Beliau berkata, mungkin ada yang berkata, tanpa pemilihan melalui pilihan raya, perwakilan Dewan Belia Negeri Perak yang ada tidak mencerminkan representasi yang sebenarnya.

Bagaimanapun, jelasnya, pemilihan perwakilan untuk Dewan Belia Negeri Perak ini telah mengambil kira perwakilan di kalangan generasi muda yang terlibat dengan pelbagai pergerakan belia dan pertubuhan bukan kerajaan. "Untuk maksud itu, penguasaan ilmu amat penting, pengasahan pemikiran kreatif, evaluatif dan kritis dalam mengangkat hujah serta padangan menjadi tuntutan dalam berhadapan dengan cabaran-cabaran semasa,"ujarnya.


30 views0 comments
bottom of page