Seramai 37 orang menjadi mangsa keracunan setelah menjamah menu sarapan pagi yang dicemari bahan kimia di sebuah gerai di Siputeh, dekat Batu Gajah pada pagi Jumaat.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Integrasi Nasional negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, empat mangsa keracunan itu kini berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Permaisuri Bainun, Ipoh.
Menurutnya selebihnya mangsa yang lain ditempatkan di Hospital Batu Gajah dan juga hospital swasta Pusat Perubatan KPJ, Ipoh.
Katanya kesemua mangsa berumur antara dua hingga 71 tahun telah bersarapan di gerai sama pagi Jumaat.
Katanya siasatan awal mendapati kesemua pesakit dipercayai telah termakan makanan di gerai tersebut yang tercemar dengan bahan kimia dikenali sebagai Organophosphate.
“Kita telah mengenal pasti boleh dikatakan kesemua pesakit itu telah makan di gerai yang sama dan sumbernya kita dapati adalah datang daripada kedai tersebut.
“Simptom yang ditunjukkan oleh bahan kimia ini adalah pening kepada, muntah, cirit birit, kecelaruan, berpeluh lebihan dan yang lebih teruk ialah memerlukan ventilasi kerana susah untuk bernafas,” katanya pada satu sidang media khas di Hospital Batu Gajah pada Sabtu.
Kata beliau, gerai yang beroperasi di Siputeh tersebut telah pun diarahkan tutup dan pelbagai agensi ketika ini sedang giat menjalankan siasatan di kawasan sekitar bagi mencari punca kejadian berkenaan.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai untuk tidak panik dan mempercayai berita yang sedang diviralkan ketika ini kerana kerajaan negeri telah pun mengambil langkah-langkah keselamatan yang diperlukan.
“Saya tekankan di sini bahawa keadaan bukan seperti yang diviralkan kononnya ada kebocoran dan sebagainya, ianya adalah tidak benar.
“Bomba telah pun mengunakan alat yang canggih untuk mencari sumber racun sama ada bahan kimia itu berpunca daripada kebocoran di kawasan sekitar tetapi kita dapati memang tiada kebocoran. Jadi jangan panik, sumbernya adalah makanan tersebut,” ujarnya lagi.
Beliau memberitahu, 24 daripada 37 pesakit yang terlibat telah pun dibenarkan pulang pada 5 petang Jumaat dan dijadualkan akan melakukan ujian kesihatan pada hari ini (Sabtu).
Beberapa pesakit yang ditemui dirawat di Hospital Batu Gajah memberitahu mereka jatuh sakit sebaik sahaja menjamu makanan seperti kuih mueh, bihun goreng, kuey teow goreng dan nasi goreng di gerai berkenaan.