Taraf pendidikan di Pangkor perlu dikaji secara teliti khususnya dari segi struktural ke arah peningkatan pencapaian akademik yang lebih holistik.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau telah menjalankan perbincangan bersama pihak berkenaan bagi menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi tujuan tersebut.
Menurut Dr Zambry, beliau telah mengadakan perbincangan tidak langsung dengan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khalid berkaitan dengan perancangan untuk mengubah pendekatan pembelajaran di pulau itu.
"Ini bakal dilaksanakan dengan sebuah pasukan naziran yang telah diwujudkan secara tidak rasmi untuk mengkaji dan juga melihat masalah paling dasar sekali," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Jamuan Rakyat Komuniti Pangkor & Warga Pendidik Pangkor Bersama YAB MB Perak di Perkarangan Dewan Orang Ramai Kg Teluk Kecil, Pulau Pangkor pada Jumaat.
Beliau yang juga ADUN Pangkor berkata, Menteri Pendidikan bersama dengan pihak berkenaan akan membuat lawatan rasmi ke Pangkor bagi menilai sendiri bangunan dan prasarana sekolah yang boleh diperbaiki.
Dr Zambry berkata pihaknya telah melaksanakan beberapa pendekatan dan kaedah, namun masih terdapat perkara yang boleh diperbaiki memandangkan keputusan peperiksaan termasuk yang terkini masih tercorot dan belum memenuhi tahap memuaskan.
Menurut beliau, antara faktor kemungkinan kadar kemerosotan itu adalah lokasi Pangkor sebagai sebuah pulau meletakkannya di luar arus perdana pendidikan.
"Saya tidak mahu menyatakan bahawa saya kecewa, tetapi berharap agar kualiti pendidikan akan dipertingkatkan lagi supaya ia dapat setanding dengan sekolah lain.
"Saya yakin dari segi kedudukan pelajar-pelajar, jika mereka diberikan ruang dan peluang yang terbaik, mereka akan dapat mencapai kejayaan itu," katanya lagi.
Dr Zambry turut mencadangkan supaya pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris dapat menjadikan sekolah-sekolah di Pangkor sebahagian daripada platform kajian pendidikan mereka.
"Mereka boleh menjadikan sekolah-sekolah di sini sebagai anak angkat, lakukan penyelidikan di sini agar mereka dapat mengetahui secara mendalam apa masalah pembelajaran di pulau ini.
"Mungkin dari segi pedagogi, struktural atau pendekatan khusus yang boleh diperbaiki,"ujarnya.