top of page
muinsapidin

3 Pemburu Haram Miliki Rusa Ditahan

IPOH - Jabatan Perhilitan Perak menahan tiga pemburu haram ketika cuba mengangkut daging tiga ekor rusa sambar yang telah dilapah untuk pasaran di kawasan Hutan Simpan Amanjaya, Gerik awal pagi Jumaat.

Pengarah Perhilitan Perak, Rozidan Md Yasin, ketiga-tiga lelaki berumur dalam lingkungan 40 an itu ditahan kira-kira jam 3 pagi ketika sedang mengangkut daging rusa itu ke dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Bagaimanapun,katanya, seorang lagi lelaki berjaya meloloskan diri ke dalam hutan dengan membawa bersama selaras senjata api apabila pegawai Perhilitan cuba mengejar untuk menahannya.

“Dalam serbuan itu, pegawai Perhilitan turut menjumpai beberapa butir peluru dan satu lesen senjata api ditempat kejadian.

“Siasatan kami mendapati ketiga-tiga lelaki terbabit dan seorang lagi yang berjaya melarikan diri berasal dari Kelantan,’’ katanya dalam sidang media di pejabat Perhilitan Negeri Perak, di sini pada Jumaat.

Menurut Rozidan, ketiga-tiga lelaki terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 60 (1) Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010 yang boleh didenda RM50,000 dan penjara dua tahun.

Katanya, kes ini merupakan kes ketiga berjaya dikesan pihaknya selepas kes pertama seorang lelaki ditahan awal tahun ini kerana memiliki daging kambing gurun dan kijang dan kes kedua seorang lelaki ditahan atas kesalahan memiliki daging kambing gurun.

Beliau turut mendedahkan bahawa kegiatan pemburuan haram sedang berleluasa di kawasan hutan simpan di Hulu Perak, namun pihaknya sedang mengambil langkah bagi membendung kegiatan haram itu.

“Kita sudah kenalpasti beberapa kumpulan pemburu haram yang sering menceroboh di kawasan Hutan Simpan Temenggor dan sedang menjejaki mereka untuk diambil tindakan segera,’’ ujarnya.


20 views0 comments
bottom of page