SPM : 890 Calon Di Perak Cemerlang Semua Mata Pelajaran
- muinsapidin
- Mar 3, 2016
- 1 min read

IPOH - Seramai 890 calon daripada 27,584 yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 di Perak berjaya memperolehi gred A dalam semua mata pelajaran.
Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Perak, Rozi Puteh Ismail berkata, keputusan cemerlang itu meliputi semua Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran dan ia menunjukkan penurunan berbanding 934 calon pada tahun 2014.
Menurut beliau, jika dilihat secara keseluruhan, pencapaian calon dalam peperiksaan kali ini menunjukkan sedikit penurunan dalam Gred Purata Negeri( GPN) iaitu 0.02 mata kepada 5.22 berbanding 5.20 pada tahun 2014.
“Daripada jumlah calon yang mendaftar menduduki SPM di 337 sekolah,hanya 27,584 (83.16 peratus) berjaya mendapat sijil berbanding 30154 (82.99 peratus) pada 2014, menunjukkan peningkatan sebanyak 0.17 peratus,” katanya kepada pemberita dalam sidang media ketika pengumuman analisis keputusan SPM 2015 di Bilik Seni Budi, Jabatan Pelajaran Negeri pada Khamis.
Tambahnya, keputusan SPM 2015 juga memperlihatkan prestasi mata pelajaran teras termasuk Bahasa Melayu, Inggeris, Pendidikan Moral dan Matematik telah menunjukkan peningkatan yang signifikan berbanding tahun 2014.
Katanya, sebanyak 30 daripada 52 mata pelajaran elektif menunjukkan peningkatan prestasi pada kali ini berbanding hanya 22 mata pelajaran pada tahun sebelumnya.
“Bagi kawasan bandar dan luar bandar, jurang pencapaian calon menurun sebanyak 0.11 GPN iaitu 0.33 pada 2015 berbanding 0.44 pada tahun 2014.
“Calon di bandar mencatatkan penurunan 0.06 mata iaitu 5.19 pada tahun 2015 berbanding 5.13 pada tahun 2014, manakala calon luar bandar pula meningkat sebanyak 0.05 mata iaitu GPN 5.52 pada thaun 2015 berbanding 5.57 pada tahun lepas,” katanya lagi.



Comments