Penantian Penduduk Dua Kampung Orang Asli Berbaloi
- muinsapidin
- Mar 3, 2016
- 2 min read
SLIM RIVER – Penantian penduduk dua kampung Orang Asli di Slim River sejak lebih setahun lalu untuk mendapat pampasan yang lebih adil akhirnya berbaloi.
Mereka menerima pampasan lima kali ganda daripada yang ditawarkan sebelumnya, selepas kerajaan negeri meminta Jabatan Penilaian, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat bancian lebih terperinci.

Segalanya bermula apabila ladang getah dan kebun buah-buahan 21 penduduk Kg Kuala Bil dan Kg Sungai Bil terlibat di dalam laluan kabel bervoltan tinggi dari Perak ke Pahang.
Penduduk kampung membantah pampasan awal yang ditawarkan kerana menurut mereka tidak berbaloi dan merayu campur tangan kerajaan negeri.
Beberapa penduduk yang ditemui melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin terhadap masalah mereka.

Penduduk Kg Kuala Bil, Haris a/l Husin, 36, (kiri) berkata, dia menerima cek pampasan berjumlah RM42,000, berbanding pampasan awal yang ditawarkan hanya RM11,000.
“Terima kasih kepada menteri besar kerana dapat menyelesaikan masalah kami yang menunggu-nunggu sehingga sekarang baru kami dapat pampasan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan cek pampasan itu di Kg Sungai Bil, dekat sini pada Selasa.
Penyerahan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kassim yang juga ADUN Behrang. Hadir sama Pengawai Daerah Muallim, Nor Sham Rahman.
Tok Batin Kg Sungai Bil, Yusof Duyong (kanan)berharap anak-anak buahnya akan menggunakan pampasan yang diterima dengan sebaik-baiknya demi masa depan anak cucu mereka.

“Walau kita tahu tanah itu kehilangan selamanya, kita terimalah walaupun sedih, ini adalah guna sama, kita tidak boleh pertikaikan itu, kita faham, jadi kalau ada modal itu, buatlah yang lain,” ujarnya.
Penasihat Koperasi Pembangunan Orang Asli Perak Berhad, A Ramesh yang turut hadir menyifatkan pampasan yang diterima penduduk kampong itu adalah yang tertinggi dalam sejarah negeri Perak.
“Bukan sebab kerajaan tidak mahu memberi pampasan yang sewajarnya, tetapi disebabkan oleh isu-isu yang berkaitan dengan nilai sebenar, jumlah pokok, anggaran, spesis dan sebagainya, ada kalanya pampasan itu kurang,” jelasnya.
Sementara itu, ahli dewan undangan negeri behrang, datuk rusnah kassim berkata, pada awalnya pampasan untuk penduduk terlibat hanya RM178,000 tetapi meningkatkan kepada lebih RM858,000 selepas campurtangan kerajaan negeri.
Beliau berharap para penerima akan menggunakan sebaik mungkin pampasan yang diterima, khususnya untuk pendidikan anak-anak mereka kerana hanya dengan pendidikan sahaja yang boleh membawa mereka keluar daripada garis kemiskinan.
“Juga untuk simpanan hari tua nanti kerana mereka tidak dapat lagi bekerja di kebun-kebun, jadi pampasan ini akan menjadi sesuatu yang berguna dan manfaat untuk hari tua mereka,” kata beliau.



Comments