top of page

Dua Tokoh Ulama Hadiri Program Di Ipoh

  • muinsapidin
  • Mar 3, 2016
  • 2 min read

IPOH - Dua tokoh ulama terkemuka - Al Habib Umar Hafidz dan Habib Ali Zaenal Abidin dijangka menghadiri tiga program keagamaan yang bakal diadakan di sini pada 9 dan 10 Mac ini.

Program dua hari itu dianjurkan oleh Pejabat Menteri Besar dan Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR) dengan kerjasama Majlis Muwasolah Baina Ulama Wal Muslimin Pusat dan Zon Utara.

Pada 9 Mac, bermula jam 3 petang, kedua-dua mereka akan menghadiri Majlis Multaqa Pegawai Kerajaan di Dewan Kediaman Menteri Besar Perak.

Selepas itu, mereka akan menghadiri Majlis Selawat Perdana Ipoh di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang dianggarkan akan dihadiri oleh sekitar 15,000 orang dari sekitar Lembah Kinta.

Pengerusi Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR), Datuk Azhar Ahmad berkata, Majlis Selawat Perdana Ipoh itu dijangka bermula dari jam 6.45 petang dengan alunan qasidah.

Menurut beliau, alunan qasidah yang disampaikan oleh beberapa kumpulan seperti dari Al Barakah, Al Ansari, Orang Asli dan yang dibawa khas oleh Al Habib Umar akan berhenti untuk solat Maghrib berjemaah dan disambung semula hingga waktu Isyak.

“Selepas solat Isyak berjemaah, selawat perdana akan bermula dan kita menjemput orang ramai, khususnya yang tinggal di sekitar Lembah Kinta untuk datang beramai-ramai,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini pada Rabu.

Beliau menambah, pada majlis selawat itu juga turut diadakan tausiyah (syarahan pendek) oleh Al Habib Umar di dalam Bahasa Arab dan akan diterjemahkan terus oleh Habib Ali Zaenal Abidin.

Keesokkan harinya pula, kata Azhar, kedua-dua tokoh ulama itu akan menghadiri Majlis Multaqa Ulama dan Ilmuan Islam dan dianggarkan oleh seramai 230 orang tokoh-tokoh agama dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, beberapa tokoh agama dalam dan luar negara serta tokoh ilmuan daripada universiti, tanpa batas kefahaman politik akan menghadiri program sehari itu yang akan membincangkan usaha mengukuhkan silaturrahim.

Azhar berkata, hasil resolusi daripada multaqa tersebut akan diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sewaktu program di sebelah malam di kediaman rasmi Menteri Besar.


Comments


bottom of page