top of page

APMM Tahan Seorang Tekong, Tiga Awak-awak Asing

  • muinsapidin
  • Mar 3, 2016
  • 1 min read

MANJUNG : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) DM3 (Lumut) berjaya menahan seramai tiga orang pendatang asing tanpa izin ( PATI) di perairan Malaysia-Indonesia. Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah, Kapten Zulinda Ramly berkata, kesemua mereka ditahan ketika kapal Maritim Kimanis yang berpengkalan di Pulau Pinang sedang melakukan operasi rondaan dan penguatkuasaan di perairan Pangkor Laut sekitar tengah malam Khamis. Menurut beliau, pihaknya telah menahan sebuah bot Indonesia yang membawa 1 tekong dan tiga awak-awak itu sekitar 40 batu nautika arah barat daya Pangkor Laut tersebut. "Ketika ditemui, seorang tekong dan tiga awak-awak yang menaiki bot nelayan yang berpengkalan di Pantai Labu, Indonesia tersebut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri. "Malah mereka juga gagal menunjukkan surat kebenaran sah daripada Ketua Pengarah Perikanan bagi menjalankan aktiviti mereka ketika pemeriksaan dijalankan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati terdapat lebih daripada 200 kilogram hasil tangkapan turut berada dalam tong-tong ikan di atas bot tersebut. Zulinda berkata, hasil pemeriksaan lanjut hot tersebut telah disyaki melakukan kesalahan di Akta Perikanan 1985 Seksyen 15(1) (a) iaitu menangkap ikan secara haram di perairan Malaysia dan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia. "Bot tersebut kemudiannya diarahkan dan diiringi Maritim untuk ke Jeti Kastam Kg Acheh, Sitiawan bagi siasatan lanjut dan segala peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan turut dirampas,"ujarnya. Beliau memberitahu, kes tersebut merupakan rekod keempat tangkapan nelayan Indonesia oleh APMM Daerah Maritim Lumut 3 sepanjang tahun ini.


Comments


bottom of page