19 beca 'havoc' gamit 500 pengunjung
- muinsapidin
- Mar 3, 2016
- 2 min read
PARIT BUNTAR - Himpunan 19 beca berlampu warna-warni yang hadir ke Parlimen Parit Buntar sempena Program Kayuhan Beca Melaka Siri Jelajah Beca 1Malaysia menggamit kehadiran lebih 500 penduduk ke pekarangan Mydin Mall, dekat sini.
Lebih manis, keunikan beca Melaka menampilkan kepelbagaian lampu warna-warni dan perletakan karekter kartun televisyen popular masa kini menyebabkan pengunjung tidak melepaskan peluang bergambar dan menikmati perasaan menaiki kenderaan warisan itu.
Pengerusi Kelab Pemilik Beca Melaka, Ahmad Elias berkata, pengalaman berkayuh beca ke lapan perhentian sejak lapan hari lalu ternyata memberi perspektif baharu kepadanya terhadap industri beca pada masa hadapan.

Menurutnya, setiap saat dan ketika, konvoi kayuhan beca diketuainya sentiasa menerima sokongan padu dan sumbangan rakyat pelbagai lapisan usia.
"Segala dorongan dan sumbangan diberikan memberi semangat kepada kami untuk meneruskan perjalanan dianggarkan sejauh 747 Kilometer ke Padang Besar, Perlis yang dijangka berakhr pada 6 Mac ini.
"Sambutan menggalakkan orang ramai pada setiap hentian dituju membuktikan industri beca masih relevan dan perlu dipopularkan semula sebagai salah satu produk eko-pelancongan negara,"katanya sewaktu ditemui media pada majlis kayuhan beca Melaka ke Mydin Mall Parit Buntar.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, Setiausaha Majlis Daerah Kerian(MDK), Mohd Razif Ramli dan Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Keselamatan dan Kebajikan Islam Kerian(PSKK), Sohaimi Ab Hamid.
Ahmad berkata, pengalaman setelah lapan hari berkayuh sudah tentu sepanjang berkayuh kaki mengalami rasa sakit dan lenguh tetapi mereka tetap meneruskannya kerana kayuhan merupakan satu latihan.
Menurutnya, pengalaman manis sepanjang mengayuh beca selama lapan hari apabila peserta kayuhan menjadi tumpuan orang ramai ketika merentasi beberapa negeri.
"Pengalaman yang paling susah ialah ketika mengayuh di laluan berbukit. Kami akan meminta bantuan motosikal sekiranya tidak larat mengayuh," katanya.
Sementara itu, Mohd Radzuan dalam ucapannya merakamkan rasa bangga dengan peserta program kayuhan itu yang turut serta mempromosikan program mendekati masyarakat anjuran Polis Diraja Malaysia(PDRM) di seluruh negara.

Menurutnya, kerjasama polis dan Rela dalam menganjurkan program sebegini pastinya mampu mendekatkan rakyat dengan polis, sekaligus meningkatkan kerjasama antara dua pihak bagi membendung aktiviti jenayah di seluruh negara.
"Polis mengucapkan selamat berjaya kepada kesemua peserta program kayuhan beca 1Malaysia yang bakal meneruskan ekspedisi mereka ke Pulau Pinang esok(hari ini).
"Diharapkan program seumpama akan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi meningkatkan penglibatan polis dalam aktiviti kemasyarakatan,"katanya.



Comments