IPOH - Penceramah bebas, Dato’ Ustaz Kazim Elias telah dibenarkan pulang hari ini selepas menjalani rawatan perubatan selama enam hari di Hospital Pakar KPJ, Ipoh sejak 22 Februari lalu.
Dato’ Ustaz Kazim Elias telah selamat menjalani dua prosedur angiogram pada pukul 5 petang kelmarin dan keadaannya kini stabil dan sudah boleh bercakap serta makan.
Ustaz Kazim yang dibantu isterinya dan sanak saudara dibenarkan pulang pada jam 12.00 tengah hari dan disambut diruang tamu Hospital KPJ oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang juga ahli Parlimen Tambun.
Menurut Ahmad Husni, beliau difahamkan Dato’ Ustaz Kazim perlu berehat sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan bagi memulihkan kembali kesihatannya.
Katanya, kerajaan memerlukan Ustaz Kazim bagi meneruskan usaha-usaha dakwah bagi memastikan umat Islam di negara ini berada pada landasan yang betul.
``Jadi bila dia hadapi sakit jantung kita bimbanglah kerana kita memerlukan beliau untuk meneruskan usaha-usaha menjalankan dakwah untuk memastikan umat islam negara ini berada pada landasan yang betul,’’ katanya.
Datuk Seri Ahmad Husni berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut Dato’ Ustaz Kasim yang dibenarkan pulang di Hospital Pakar KPJ, Ipoh pada sabtu.
Menurut Ahmad Husni, beliau amat mengenali Ustaz Kazim sebagai seorang sahabat yang pernah menjadi iman disebuah masjid di Ipoh tidak lama dulu.
Katanya, beliau juga amat faham tentang tugas Ustaz Kazim sebagai seorang pendakwah yang sentiasa tidak ada masa di rumah sibuk berdakwah di serata tempat di seluruh negara.
Sementara itu abang Dato’ Ustaz Kazim, Dato’ Mohd Najmuddin Elias berkata, beliau bersyukur kerana adiknya telah dibenarkan pulang dari Hospital KPJ untuk dibawa balik ke rumahnya di Ipoh.
Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak termasuk Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DSr Zambry Abd Kadir, HUSM Kubang Kerian, Kelantan dan hospital pakar KPJ Ipoh serta rakyat negeri Perak yang telah berdoa mengharapkan Ustaz Kazim kembali pulih.- Suara Perak