top of page
muinsapidin

Pemukiman diterima baik segenap lapisan rakyat


Program sulung Pemukiman Menteri Besar yang berlangsung selama lima hari di Hulu Perak sejak 23 Februari berjaya memberi satu penanda aras baik akan tahap penerimaan rakyat terhadap perkhimatan kerajaan.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ia juga berjaya memberi indikator bahawa masyarakat tempatan amat senang sekiranya pemimpin dapat sentiasa turun ke padang melihat, mendengar dan menyelesaikan permasaalahan di kawasan mereka.

Di sebalik kejayaan program sulung ini, Menteri Besar bagaimana pun berkata program pemukiman ini masih ada kelemahan yang perlu di perbaiki untuk bagi memastikan objektif program itu meresap ke akar umbi.

“Pemukiman pertama siri ini bagi 2016 dari segi pendekatannya saya lihat bahawa ianya memberi tanda aras baik untuk kita teruskan ke daerah-daerah lain.

“Mungkin kita akan melihat dari segi kelemahan-kelemahan yang ada. Saya harapkan dengan cara ini kita dapat turun sama menyelesaikan masalah rakyat secara lebih dekat,” katanya pada sidang media di Karnival Tiada Tertinggal Tiada Terpinggir pada Sabtu.

Karnival yang berlangsung di Dataran Lapangan Terbang Gerik itu merupakan acara kemuncak bagi program pemukiman kali ini selepas 137 program telah berlangsung sejak 23 hingga 27 Februari.

Dr Zambry turut memberitahu program pemukiman seterusnya akan diadakan di daerah Kerian dalam masa terdekat dengan penyusunan program-program berdasarkan keunikkan daerah itu.

Lebih 5,000 rakyat sekitar daerah itu telah berkungjung ke karnival tersebut yang mempunyai pelbagai pengisian menarik seperti Fit Perak, Sukan Rakyat dan Klinik Dr Zambry.

Antara kejayaan yang dapat dilihat dalam Program Pemukiman itu ialah penyelesaian penantian berpuluh tahun 19 penduduk masyarakat India di Kampung Ramasamy di Temengor yang diberikan tawaran surat hak milik tanah bagi rumah yang diduduki mereka daripada kerajaan negeri.

Selain itu, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut memenuhi pengisian Program Pemukiman dengan menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan melakukan pemeriksaan pendawaian rumah orang asli di Ulu Gerik yang telah dibina sejak 1971 dan menggantikan lampu yang rosak.

Pemukiman adalah inisiatif pentadbiran Menteri Besar yang mahu usaha mendekati rakyat dilaksanakan secara holistik dengan mengambil kira langkah-langkah penyelesaian permasalahan penduduk di kawasan terlibat. - Suara Perak


12 views0 comments
bottom of page