top of page
muinsapidin

Wujudkan Kumpulan Wang Penimbal Dividen

LENGGONG - Koperasi yang berdaya maju dicadang supaya mewujudkan Kumpulan Wang Penimbal Dividen sebagai simpanan untuk pengagihan dividen ketika keuntungan mereka terjejas ekoran suasana perniagaan yang kurang baik.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, bagi tujuan itu, koperasi tidak seharusnya memberi dividen terlalu tinggi sekiranya pendapatan yang banyak.

Beliau memberi contoh, ketika harga sawit tinggi, pihak koperasi seharusnya menyimpan sebahagian keuntungan tinggi itu di dalam Kumpulan Wang Penimbal Dividen sebagai persiapan ketika harga komoditi itu jatuh.

“Walaupun keuntungan koperasi merosot, kebajikan ahli-ahli juga perlu dijaga, lebih-lebih lagi ketika mereka memerlukan sumber kewangan daripada dividen,” katanya ketika berucap merasmikan kursus Memperkasa dan Merakyatkan Koperasi di Dewan Merdeka Lenggong pada Jumaat.

Kursus sehari itu yang dihadiri oleh wakil-wakil koperasi dari sekitar daerah Hulu Perak diadakan sempena program pemukiman di daerah tersebut.

Hadir sama Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Perak, Zainun Hamzan Stapa.

Samsudin berharap Ahli Lembaga Pengarah koperasi berani untuk menceburi bidang baru tetapi perlu dilaksanakan secara berhati-hati selepas mendapat kepakaran yang sesuai.

Beliau turut menggariskan konsep 4S yang perlu sentiasa menjadi panduan dan amalan ahli lembaga pengarah iaitu semangat, sungguh-sungguh, sama-sama dan sistematik.

Menurut beliau, koperasi akan gagal atau tidak berdaya saing sekiranya ahli lembaga pengarah tidak komited dan tidak mahu memahami ilmu atau selok belok perniagaan yang betul.

Dalam pada itu, beliau mahu ahli-ahli koperasi juga bersedia pada bila-bila masa untuk menambah saham mereka yang boleh dijadikan modal bagi membolehkan koperasi bidang baharu yang lebih mencabar.


16 views0 comments
bottom of page