Tiga anggota Exco kerajaan negeri Perak mengambil bahagian di dalam aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) Hammam (tandas) di Masjid Kampung Gua Badak pada Jumaat pagi.
Mereka ialah Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kassim dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria.
Turut hadir Pengurus Besar Lembaga Air Perak, Datuk Ir Mohd Yusof Mohd Isa serta pegawai daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Aktiviti itu yang bermula sekitar jam 8.30 pagi turut membersihkan kawasan masjid, memeriksa pendawaian eletrik, menggantikan lampu yang rosak dan menggantikan paip yang lama.
Zainol, Rusnah dan Nizar bergilir-gilir mengecat tandas yang terdapat di masjid itu di samping memberi sokongan moral kepada beberapa sukarelawan dan penduduk kampung.
Selain daripada masjid Kampung Gua Badak, aktiviti yang sama turut diadakan di masjid Kampung Bukit Sapi, kedua-duanya berada di dalam kawasan Parlimen Lenggong.