Di dalam kesibukan menghadiri pelbagai aktiviti sempena program pemukiman di Daerah Hulu Perak, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sempat meluangkan masa bermain futsal bersama Pemuda UMNO Lenggong di Kampung Padang Kunyit pada Khamis.
Beliau yang bermain mewakili pasukan pilihan YAB Menteri Besar menewaskan pasukan SRCC Lenggong dengan jaringan 5 – 3.
Lebih mengkagumkan para penonton ialah kesemua lima gol pasukannya dijaringkan oleh Dr Zambry sendiri.
Antara yang mewakili pasukan pilihan YAB Menteri Besar pada perlawanan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kenering, Datuk Mohd Tarmizi Idris.
Sementara itu, di dalam kejohanan yang dianjurkan sempena pemukiman itu, pasukan Amanjaya Lenggong muncul tempat ketiga manakala pasukan Felda Lawin Utara B muncul naib juara dan pasukan Cap Ayam muncul juara.
Selepas majlis penyampaian hadiah, Dr Zambry meluangkan masa melihat program menukar minyak hitam 50 buah motosikal yang dianjurkan oleh Yayasan Bina Upaya (YBU) berhampiran gelanggang futsal tersebut.
Seramai lapan pelatih Skim Latihan Automatif Amanjaya (SLAA) mengambil bahagian di dalam program percuma itu yang mendapat sambutan daripada pemilik motosikal di di sekitar Kampung Padang Kunyit.