Kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan masyarakat Orang Asli dari segi kebajikan dan pembangunan, walaupun mereka tinggal jauh di kawasan pedalaman.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, kerajaan negeri sentiasa komited untuk memastikan kumpulan masyarakat itu juga turut merasai nikmat arus pembangunan negeri dan negara.
Menurut beliau, pelbagai aktiviti telah, sedang dan akan dijalankan supaya masyarakat Orang Asli tidak merasakan mereka ketinggalan jauh daripada mereka yang tinggal di Bandar dan kampong.
“Penganjuran program pemukiman ini salah satu bukti komitmen kerajaan negeri untuk turun padang dan membantu rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan bakul makanan kepada penduduk Orang Asli di Kampung Ulu Gerik pada Khamis.
Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusof Husin.
Kampung Ulu Gerika mempunyai 58 keluarga yang terdiri daripada 47 keluarga Islam manakala baki 11 lagi bukan Islam.
Menurut beliau, selain sumbangan bakul makanan, pihaknya bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad untuk memeriksa semula pendawaian rumah yang telah dibina sejak tahun 1971 dan menggantikan lampu-lampu yang rosak.
Drs Nizar memberitahu, sempena program Pemukiman Daerah Hulu Perak, pihaknya telah menyusun sebanyak 102 program di Pengkalan Hulu, Gerik dan Lenggong yang merangkumi pelbagai peringkat kehidupan, bermula di peringkat tadika hinggalah kepada tahfiz dan pembangunan keluarga.
Sementara itu, ketika berucap merasmikan penutup kursus penyembelihan di Pusat Komuniti Kampung Padang Kunyit, beliau berharap kursus itu akan memberi pendedahan kepada golongan muda mengenai teknik penyembelihan yang betul dan mengikut syarak.
Seramai 40 belia mengambil bahagian di dalam kursus anjuran bersama JAIPk dan Jabatan Veterinar. Hadir sama Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Syamsul Anuar Nasarah.